RISIKO merupakan karya kolaborasi lima orang penyanyi rap terkenal dengan gaya karisma tersendiri iaitu MK, Tuju, Benzooloo, Ghidd dan Meerfly.
Kehadiran dua nama besar dalam lapangan muzik hip hop itu tentu sahaja membuatkan ramai penonton terpaku terutama apabila melihat MK dan Tuju dalam satu lagu dan video muzik yang sama.
Hal itu sementelah sebelum ini, kedua-duanya dikhabarkan mempunyai perselisihan faham lalu memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Tentu sahaja gabungan kedua-duanya bakal menjadi satu tarikan dan kejutan selain menjadi satu berita baik buat semua peminat yang ingin mereka bergabung mereka semula.
Bukan sahaja itu, malah lagu tersebut mempunyai ‘agenda’ simbolik tersendiri apabila memilih 22 Februari sebagai tarikh istimewa untuk melancarkan video muzik lagu berkenaan.
Kata komposer dan penerbit bagi lagu Risiko iatu Kinggoldigga, pihak syarikat produksi TwntyTwo Degree mempunyai sebab tersendiri memilih tarikh 22 Februari untuk pelancaran video muzik dan single Risiko.
Baca juga: Anggi Marito akhiri cerita cinta dalam Kisah Yang Lain
Baca juga: Akui tiada masalah dengan Ahmad Dhani, Once pilih karya solo untuk konsert di Malaysia
“Kami memilih 22 Februari adalah bersesuaian dan bertepatan dengan nama Twntytwo Degree. Single ini adalah buah tangan pertama dari syarikat produksi kami yang masih baru.
“Idea di sebalik pembikinan lagu ini mula direncanakan sekitar bulan Ogos tahun lepas lagi. Kolaborasi ini terhasil secara spontan. Idea untuk menggabungkan mereka juga datang secara tiba-tiba.
“Kelima-lima penyanyi ini dipilih kerana mereka adalah idola kebanyakan remaja di Sabah termasuklah saya,” ujar Kinggoldigga sambil ketawa kecil.
Lagu Risiko turut menceritakan tentang penceritaan hidup bagi setiap individu itu berbeza-beza dan unik serta bagaimana mereka mencapai puncak kejayaan itu juga berbeza-beza.
Selain itu, sesetengah individu perlu merancang dengan rapi agar susunan langkah tersebut mampu mencapai matlamatnya, akan tetapi, ada juga yang menghadapi rintangan dan cabaran yang tidak disangka-sangka dan pengalaman itu membuatkan mereka lebih dewasa dan kuat. — Arena Muzik