Oleh: Haikal Tajuddin
MENGIMBAU semula muzik nostalgia yang dahulunya menjadi halwa telinga kini kembali menyengat apabila empat legenda muzik tanah air, Datuk DJ Dave, Datuk Jeffrydin, Ziana Zain dan Datuk Awie kembali beraksi di atas satu pentas ‘Konsert Rentas Masa’ pada Jumaat lalu.
Konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) itu dipersembahkan dengan pelbagai gabungan lagu dari era 60-an hingga ke era masa kini.
Malah, pembuka tirai bagi konsert tersebut bukannya dibuat oleh mereka, tetapi dipersembahkan oleh Kumpulan rock moden Fly V yang terdiri daripada Ovie (vokalis/gitar), Kama (gitar utama) dan Mijie (bass) dengan single ‘Bebas’ dan ‘Samar Bayangan’ yang dipersembahkan dengan suara unik serak basah Ovie.
Seterusnya, DJ Dave membuktikan kehebatan vokalnya yang masih utuh selepas lebih lima dekad berkarya.
Meneruskan nostalgia era keemasan, Jeffrydin pula membuat persembahan ‘Termenung’ dengan penuh penghayatan, membuktikan kualiti vokal yang konsisten.
Persembahan diteruskan dengan “Siti Haida” dan “Seruling Anak Gembala” yang diserikan dengan tarian, membawa atmosfera autentik muzik Melayu asli ke moden.
Diva pop, Ziana Zain juga turut memukau penonton dengan persembahan yang membuktikan statusnya sebagai ikon pop Malaysia.
Dia membawakan trio hit popular, ‘Putus Terpaksa’, ‘Anggapanmu’ dan ‘Kekal’ Ziana menunjukkan kehebatan teknikal vokal yang masih relevan sebagai santapan buat para peminat.
Tambahan lagi, Awie pula membawa dimensi berbeza ke pentas dengan sentuhan rock dalam persembahan hits seperti “Iris”, versi tersendiri “Istana Menanti” dan “Di Penjara Janji”.
Tenaga beliau itu sememangnya diyakini sebagai nafas baru kepada konsert dengan menunjukkan kepelbagaian genre yang ada dalam muzik Malaysia.
Kerjasama diantara keempat-empat artis berlainan era dan genre itu membuktikan muzik Malaysia masih kini mempunyai asas yang kukuh dan mampu merentasi sempadan walaupun kini diambang kepada generasi baharu.