FESTIVAL Supalapa bakal memukau pengunjung dengan kehadiran lebih dari 40 bintang antarabangsa bersama dengan karyawan tempatan. Acara ini menjanjikan persembahan tanpa limitasi dalam berbagai genre muzik dan hiburan untuk menciptakan pengalaman yang luar biasa.
Festival tersebut yang dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 2 dan 3 Mac tahun ini di Resorts World Awana, Genting Highlands. Pengunjung akan disajikan dengan sebuah acara yang gilang-gemilang dan akan meletakkan penanda aras yang baharu dalam penganjuran festival.
Antara 40 bintang ternama antarabangsa yang sedia menanti peminat adalah Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, Notep dan banyak lagi.
Turut hadir memeriahkan lagi festival tersebut bintang tempatan Yuna, Saixse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski,Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groove juga akan membuat pengunjung teruja dengan persembahan mereka.
Baca juga: Justin Timberlake kembali dengan album baharu, Everything I Thought It Was
Baca juga: Kolaborasi Badai, Randy Pangalila dalam album The Greatest Hits Vol. 1
Menariknya, acara itu bukan sekadar hiburan berkaitan muzik sahaja tetapi di Festival Supalapa juga menyediakan keseronokkan aktiviti seperti Wrestling Ring, Bali Swing, Carnival Games dan Silent Cinema untuk dinikmati.
Pengerusi Maestro Production and Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya pula menyifatkan Festival Supalapa akan menjadi tanda aras pesta hiburan di Malaysia yang akan dinantikan setiap tahun.
“Kami berharap penganjuran pertama Festival Supalapa akan menjadi acara yang tahunan yang ditunggu-tunggu kerana pengunjung telah menemukan semua jenis hiburan bukan sekadar muzik di dalam satu festival.
“Apa yang penting juga adalah Festival Supalapa mampu membantu melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong dari luar negara kerana di sini mereka akan menemukan sebuah hub hiburan setaraf penganjuran antarabangsa.
“Festival Supalapa bukan sekadar tentang hiburan tetapi bagaimana kami memberikan keseronokan tanpa limitasi sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung sentiasa teruja,” ujar Parthiban.
Bagi sebarang pembelian tiket boleh layari supala.com. — Arena Muzik