KUMPULAN pop rock popular Indonesia, D’Masiv kembali muncul menerusi ‘Konsert D’Masiv Cinta Sampai di Kuala Lumpur di Megastar Arena, Bukit bintang berlangsung dengan meriah.
Walaupun baru sahaja mengadakan konsert pada bulan Jun tahun lalu, ternyata sambutan hangat peminat menyaksikan tiket konsertnya laku bak pisang goreng panas dan habis dijual. Malah, ada peminat sanggup terbang dari Brunei ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan persembahan memukau kumpulan tersebut.
Ruang Megastar Arena yang dibanjiri lebih 5,000 peminat mendapat sorakan hangat apabila permulaan malam indah itu menampilkan Tam Spider sebagai artis pembuka tirai. Ternyata peminat rata-rata teruja saat menyanyikan bersama-sama lagu popular kumpulan Spider, Tapi Bagaimana.
Peminat ibarat lautan manusia kemudian dibuai dengan lagu Relaku Pujuk yang dipersembahkan dengan alunan gitar akustik.
Seterusnya, D’Masiv memulakan persembahan mereka dengan salah satu lagu meruntun jiwa, iaitu Rindu Setengah Mati dan kemudian diikuti dengan lagu rancak yang berjudul Natural sekali gus menyemarakkan lagi sorakan dikalangan pemuja kumpulan tersebut.
Pemilihan lagu-lagu itu ternyata menghidupkan suasana galau dan nostalgia dalam kalangan peminatnya yang lebih dikenali sebagai ‘Masivers’.
Baca juga: Bams, Marcell dan Once bakal bergabung atas satu pentas 4 Mei depan
Baca juga: Green Day mendominasi senarai 5 lagu cinta paling romantik
Kumpulan itu juga sempat menampilkan beberapa lagu dalam akustik antaranya Sudahi Perih Ini, Apa Salahku dan Jangan Menyerah.
Di samping itu, Rian, penyanyi utama kumpulan itu sempat menghiburkan peminat Malaysia dengan lagu Di Bawah Langit Yang Sama dan sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat setia mereka dengan menyanyikan lagu tersebut sebagai salah satu tanda persahabatan antara Malaysia dan Indonesia.
“Saya cukup rasa berterima kasih kerana Malaysia dan Indonesia mempunyai persahabatan yang sangat baik dan kami berpeluang untuk membut persembahan di sini. Terimalah OST. Boboiboy, Di Bawah Langit Yang Sama,” katanya sambil tersenyum girang.
D’Masiv turut menyajikan lebih 20 lagu popular lain antaranya Cinta Sampai Disini, Dengarlah Sayang dan Merindukanmu.
D’Masiv dibarisi vokalis Rian Ekky Pradipta, pemain gitar Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan, pemain bass Rayyi Kurniawan dan Iskandar Dinata serta pemain dram Wahyu Piadji.
“Kami sedang dalam jelajah dunia dan Malaysia adalah salah satu destinasi kami untuk jelajah itu.
“Kami akhirnya berada di Malaysia malam ini, tetapi kami masih belum mendapatkan Nasi Lemak kerana tiada siapa yang menghantarnya ke hotel kami. Tapi Malaysia tu ‘best’ sangat tau,” ujarnya berseloroh.
Menariknya, D’Masiv menutup tirai persembahan dengan lagu yang menjadi siulan hingga kini iaitu Cinta Ini Membunuhku dan Rian turut berkongsi perkembangan kumpulannya yang akan mengeluarkan album baharu pada April depan. — Arena Muzik