KEHEBATAN suara seorang wanita bernama Liza Hanim memang tidak dapat disangkalkan lagi, sementelah, ibu beranak lima itu hampir tiga dekad bertapak dalam bidang seni suara.
Namanya semakin mengharum apabila membuat kemunculan semula menerusi program realiti nyanyian Gegar Vaganza musim 4 pada 2017. Meskipun tewas di tangan Datuk Aishah, namun gelaran naib juara itu telah melonjakkan semula portfolio baliau yang terkenal sebagai penyanyi senior.
Tanpa menoleh belakang, pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim, 44, terus giat menyusun langkah satu per satu sehingga berjaya mengumpulkan lebih 1,000 penonton di Konsert Liza Hanim 27 Journey di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Tidak ternilai perasaan kasih dan setia peminat yang hadir dilihat seperti sudah akrab dengan Liza, lebih-lebih apabila setiap lelucon penyanyi itu membuatkan mereka ketawa kecil.
Biarpun tahap kesihatannya tidak 100 peratus sempurna, namun Liza tetap tidak mahu menghampakan peminat yang hadir. Beliau berusaha menyampaikan persembahan lagu-lagu malar segar seperti Getaran Cinta Di Jiwa, Ku Idamkan Rindu, Cintailah Aku Sepenuh Jiwa dan Gelisah Mimpi.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah merealisasikan impian saya untuk mengadakan konsert.
Baca juga: Bams, Marcell dan Once bakal bergabung atas satu pentas 4 Mei depan
“Walaupun tahap kesihatan tidak mengizinkan, saya tidak sihat sampai kena guna nebulizer. Saya mengharapkan, saya berada pada tahap kesihatan terbaik.
“Saya pula risau sebab lagu Liza Hanim ini, lapan paru-paru kena pakai. Walaupun tidak optimal, tetapi saya lalui juga demi anda semua,” katanya berseloroh.
Liza memberitahu, dirinya mengalami masalah kesihatan beberapa minggu sebelum konsert sehingga perlu mendapatkan rawatan nebulizer.
Pilihan lagu konsert itu juga seperti membawa penonton menelusuri perjalanan kerjaya seninya dengan mendendangkan lagu Imaginasiku sebelum diikuti dengan lagu Dunia Cinta, Getaran Cinta Di Jiwa dan Cintailah Aku Sepenuh Jiwa.
Bukan sahaja memperdengarkan lagu nyanyian beliau, Liza juga tidak mengetepikan persembahan khas yang didedikasikan buat Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma.
Antara lagu yang dinyanyikan beliau ialah Di Manakan Ku Cari Ganti, Jeritan Batinku dan Istana Cinta.
Baca juga: Terima kasih Kuala Lumpur – D’Masiv
Pada persembahan itu juga, Liza tidak mampu menahan sebak saat dia menyanyikan lagu Tiada yang diciptakan khusus buat bapanya, Allahyarham Abdul Halim Abdul Razak yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 2019 lalu.
Perit rasa kehilangan itu jelas terpancar diwajahnya saat dia gagal ‘cubaan pertama’ untuk menyanyikan lagu itu.
“Lagu ini sangat istimewa, dan selalunya saya tidak dapat sempurnakan lagu ini sehingga habis.
“Kalau tidak menangis ketika menyanyi lagu ini memang tidak sah. Saya harap saya dapat buat yang terbaik malam ini,” katanya yang menyanyikan semula lagu itu sebanyak dua kali.
Setelah menghela nafas seketika, Liza meneruskan persembahan meskipun kedengaran sedikit getar di hujung suaranya yang masih dalam kesedihan.
Tidak bersendirian di atas pentas, Liza turut ditemani oleh anaknya Marsya Qistina yang bersama-sama menyanyikan lagu Bahagiakan Dia.
Marya juga sempat menghiburkan peminat dengan perbualan santai yang diselitkan dengan elemen lelucon sehingga membuatkan penonton ‘kecoh’ dengan gelak ketawa.
Benar bagai dikata, mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Menghampiri hujung persembahan, Liza turut menyanyikan beberapa lagu Inggeris antaranya You Don’t Add Up, Best of Me dan My Heart Will Go On.
Secara keseluruhan, Liza menyanyikan 34 buah lagu menerusi konsert yang dibawakan oleh LH Media Sdn Bhd dan Laugh Out Loud Entertainment serta mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd. — Arena Muzik