SENTUHAN magis bak ‘Midas Touch’ sentiasa meraih perhatian ramai menerusi hasil karya penyanyi yang juga komposer terkenal, Hael Husaini.
Boleh dikatakan, setiap lagu yang diciptanya dilihat berpotensi untuk merangkul anugerah di acara muzik mahupun mencipta fenomena seperti beberapa nukilannya iaitu Jampi, Haram dan Kelentang Kelentong.
Pelakon drama rantaian My Femous Ex Boyfriend, bukan sahaja melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan, malah pelantun lagu Hajat itu turut bakal muncul dengan album sulung berjudul Antonim (Part I).
Setelah sekian lama menanti, album Antonim (Part I) yang memuatkan enam buah lagu di mana kesemuanya merupakan ciptaan barisan komposer ternama tanah air seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Hael Husaini sendiri bakal dilancarkan pada 5 Januari depan.
Bukan sahaja album, tetapi turut diikuti dengan video muzik Diam yang sudah dilancarkan pada 22 Disember lalu sekali gus albumnya menjadi rentetan bagi video muzik penyanyi berumur 36 tahun itu.
Lagu-lagu yang terkandung di dalam album Antonim (Part I) ialah seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra), di mana, empat buah lagu tersebut telah dipilih sebagai runut bunyi bagi drama bersiri salah sebuah drama popular.
Baca juga: Mahalini luah ‘Sisa Rasa’ di Mega Star Arena Februari depan
Baca juga: Lorde bakal lancar album baharu selepas 2 tahun
“Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya. Selain menjadi impian terbesar, album ini juga banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan perlu tempuhi,
“Antonim (Part I & II) saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock,” kongsi Hael sambil tersenyu.
Tambah Hael, setiap karya dalam album ini mempunyai jalan cerita yang tersendiri. Tidak mengira sama ada diambil daripada kisah benar, atau ada juga yang bersifat ‘dongeng’ yang diambil berdasarkan kisah hidup orang di sekeliling.
“Apa yang berlaku di sekitar saya juga boleh dijadikan sebagai inspirasi untuk menghasilkan lagu. Pengalaman hidup mereka secara tidak langsung memberikan saya idea,” ujarnya.
Perkara sama turut diceritakan dalam lagu Diam yang menceritakan tentang perasaan seseorang setelah kepercayaannya dikhianati.
“Nukilan karya lagu Diam yang diperdengarkan kepada umum sebelum ini turut membawa maksud tersendiri. Lagu ini begitu dekat dengan persekitaran kita dan merupakan satu luahan terhadap seseorang yang mengkhianati kita.
“Orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita, tetapi berusaha untuk menjatuhkan kita,” terangnya.
Bermula 22 Disember 2023, MV Diam boleh ditonton di saluran YouTube Hael Husaini Official, sementara 5 Januari 2024, album Antonim (Part I) boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music. — Arena Muzik