PENYANYI popular Indonesia, Afgan mengakui masih belum bersedia untuk membuat persembahan secara besar-besaran di stadium.
Kata Afgan atau Afgansyah Reza, 34, awalnya dia ada merancang untuk membuat konsert di staidum, namun disebabkan perasaan gugup, hasrat itu terpaksa dipendam.
“Saya takut kalau di stadium. Stadium itu tentu besar dan kemungkinan puluhan ribu yang mungkin datang.
“Justeru, secara mentalnya saya masih belum sedia,” katanya kepada Arena Muzik ketika ditemui pada majlis Sidang Media Afgan Live In Concert With Orchestra di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat.
Baca juga: Ungu ‘belanja’ peminat 30 lagu popular dalam satu konsert
Baca juga: Tidak mahu bangga dengan pujian, Alif Satar segan dapat ‘sokongan’ Fadzilah Kamsah
Sementara itu, mengulas mengenai konsert yang akan dijayakan di Dewan Plenary, Afgan memberitahu persembahan tersebut akan menjadi sesuatu yang bermakna buatnya dan peminat.
Ini kerana buat julung kali, Afgan akan membuat persembahan dengan diiringi oleh kumpulan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
Malah, Afgan juga memuji kehebatan kumpulan orkestra tempatan ketika kali pertama membuat latihan bersama pada Jumaat.
“Apa yang boleh dikatakan, untuk Afgan Live In Concert With Orchestra ini, ia sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali, saya bekerjasama dengan pemuzik orkestra.
“Apabila dimaklumkan dengan pihak penganjur, mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini. Bagi saya, ini menakjubkan dan tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat,” ujarnya.
Dianggarkan lebih 20 pemuzik orkestra akan mengiringi persembahan pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu di hadapan lebih 3,000 penonton pada Sabtu.
Konsert yang dibawakan oleh Renjana Idea itu turut menyaksikan kemunculan penyanyi, Raisa sebagai bintang undangan. — Arena Muzik