Oleh: Tyah Helmi
Konsert Genkru ‘Day3’ yang berlangsung meriah malam tadi bukan sahaja menggamit memori peminat tempatan, malah berjaya menarik kehadiran peminat dari luar negara termasuk Arab Saudi, Singapura, Brunei, Filipina, London dan Los Angeles.
Menurut salah seorang anggota KRU, Edry Abdul Halim, pada awalnya mereka hanya merancang untuk mengadakan satu malam konsert sahaja. Namun sambutan luar biasa daripada para peminat menyebabkan mereka mempertimbangkan untuk menambah malam persembahan.
“Kita nak buat satu malam je sebenarnya. Tapi bila tengok peminat masih berebut tiket, ada yang tak dapat, rasa kesian pula. Ramai yang nak ulang balik zaman kegemilangan mereka bersama KRU. Jadi kami bantu mereka imbas kembali memori indah itu,” katanya.
Norman pula menyatakan bahawa keputusan untuk menambah hari konsert bukan semata-mata dorongan dalaman, sebaliknya didorong oleh permintaan tinggi daripada peminat.
“Kita tak pernah terfikir nak buat lebih dari satu malam, tapi bila tengok sambutan hebat dan semangat peminat yang sanggup ‘berperang’ dapatkan tiket, kami rasa bertanggungjawab untuk berikan mereka peluang itu,” ujar Norman.
Tambah Edry lagi, suasana luar konsert turut menambah elemen nostalgia dengan pelbagai aktiviti dan pameran gambar lama serta momen bersejarah awal pembabitan KRU dalam industri muzik.
Penerbit dan pengarah konsert yang juga mewakili warga ‘Icon Entertainment’ Iman Tang, pula menyatakan rasa bangganya apabila KRU berjaya menganjurkan konsert berskala besar setanding dengan artis antarabangsa seperti bintang K-Pop atau artis Barat.
“Kalau artis luar boleh buat konsert mega, kenapa tidak artis tempatan? KRU membuktikan mereka mampu menggegarkan pentas dengan persembahan mantap, tarian bertenaga dan gimik kejutan untuk para peminat,” katanya.
Yusry Abdul Halim pula berkongsi rasa terharunya apabila konsert yang pada awalnya dirancang kecil-kecilan berjaya menarik lebih 10,000 orang peminat.
“Kami tak sangka sambutan sebesar ini. Konsert kami sebelum ini di Seni Budaya pun tiga malam tapi lebih kecil skalanya. Kali ini pentas lebih besar, sistem bunyi lebih hebat dan peminat lebih ramai,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang bagaimana malam keempat konsert ‘GenKRU’ dapat diwujudkan, Edry menjelaskan bahawa Iman menunjukkan statistik mengejutkan lebih 200,000 orang masih melayari laman web untuk mendapatkan tiket.
“Kami tak mahu hampakan peminat. Apabila lihat jumlah yang masih cuba mendapatkan tiket, kami bersetuju untuk tambah satu malam lagi,” katanya.
Iman menambah kenyataan dengan berkata, “Kami buat Day 4 berdasarkan angka. Angka tidak pernah menipu lebih 100,000 peminat ‘crash’ laman web kami hanya untuk berjuang mendapatkan tiket.”
Kumpulan trio adik-beradik yang dianggotai Datuk Norman, 53, Datuk Yusry, 52 dan Edry Abduk Halim, 49 menggegarkan pentas di Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada malam tadi.
lebih 10,000 penonton hadir menyaksikan persembahan KRU yang cukup ‘magis’ dengan penampilan barisan lagu-lagu mereka antaranya Mengerti ‘The Way We Jam’, ‘Fanatik “2”, ‘Ohh! La La!’, ‘Di Dalam Dilema’, ‘One More Time’, ‘Babe’, ‘Jangan Lafazkan’, ‘Terhangat Di Pasaran,’Malam Kita’,’Bidadari Hingga Ke Jannah’,’Voodoo’,’Di Pintu Syurga’,’Awas’,’Untukmu’, dan ‘Apa Saja’.
Konsert itu turut menampilkan pelakon dan pelawak terkenal negara, Abon atau Sharizan Ahmad yang menyamar menjadi Adam AF yang merupakan bekas peserta Akademi Fantasi musim kedua (AF2) sebagai elemen kejutan menambahkan kemeriahan suasana.
Konsert GenKRU tidak akan lengkap tanpa adanya kemunculan kumpulan penyanyi legenda wanita negara iaitu Azza, Linda Rafar, Abby Abadi, Watie dan Shasha menyanyikan sedikit bait-bait lagu ‘Awas’ versi mereka.
Penganjuran Konsert GenKRU di Axiata Arena bakal menemui kemuncuknya pada malam terakhir hari ini dengan pelbagai lagi elemen kejutan.