Oleh ArenaMuzik.com | 5 Mei 2025
KUALA LUMPUR – Fenomena GENKRU terus membara! Selepas dua malam berturut-turut berjaya mencuri tumpuan peminat muzik tanah air, malam ketiga konsert ulang tahun ke-30 kumpulan legenda KRU di Axiata Arena disahkan sold out sepenuhnya.
Walaupun hujan renyai menyapa Bukit Jalil pada petang Sabtu, namun ribuan peminat tetap membanjiri ruang Axiata Arena — membuktikan bahawa nostalgia dan cinta terhadap muzik era 90-an dan 2000-an masih membara dalam jiwa rakyat Malaysia.
Kejayaan tiga malam berturut-turut ini mencetuskan satu soalan besar di kalangan peminat:
Adakah akan ada malam keempat?
Desakan Dari TikTok ke Twitter
Media sosial dibanjiri dengan video persembahan, sorakan crowd, serta komen peminat yang terlepas peluang membeli tiket. Ramai mengakui baru menyedari “kemeriahan luar biasa” GENKRU selepas tularnya video malam pertama dan kedua.
Rata-rata menyarankan agar pihak penganjur mempertimbangkan satu malam tambahan — cadangan tarikh popular: Ahad malam, 11 Mei 2025.
“Buat la malam keempat, kami sanggup repeat!” – komen seorang pengguna TikTok yang tular.
“Saya baru tahu betapa padu vibe konsert ni. Harap ada satu malam lagi, please!” – peminat di X (Twitter).
Persembahan Berkelas Dunia
Setiap malam disajikan dengan susunan lagu bertenaga seperti Fanatik, Awas, Ohh La La, Apa Saja, dan Bila Bintang Berpesta, selain penampilan mengejut artis jemputan yang terus menjadi bualan hangat.
Tidak hairan jika ramai yang mahukan satu lagi peluang untuk menyaksikan kehebatan trio Norman, Yusry dan Edry secara langsung. GENKRU bukan sekadar konsert — ia adalah pengalaman muzik yang menyatukan generasi.