Oleh: Tyah Helmi
KUALA LUMPUR: Konsert Cipta Raya M Nasir di Zepp Kuala Lumpur pada Ahad mencipta sejarah dan kenangan manis apabila seolah-olah menghadiri Rumah Terbuka legenda muzik tanah air, Datuk M Nasir sendiri.
Malam penuh gemilang itu menyaksikan kehadiran lebih 1,500 peminat yang tidak hanya dari dalam negara tetapi juga dari luar negara datang membanjiri ruang konsert sambil mengenakan pakaian Hari Raya.
Konsert berkonsepkan raya itu dianjurkan oleh Icon Entertainment dan menawarkan pengalaman unik termasuk juadah Hari Raya seperti lemang, ketupat, rendang, sate serta pencuci mulut yang disediakan untuk para penonton sebelum persembahan bermula.
Pada malam konsert, M Nasir memukau penonton dengan dendangan 20 lagu yang menggamit kenangan raya.
Antara lagu yang mengisi malam itu termasuk karya beliau sendiri serta lagu klasik raya seperti ‘Suara Takbir’, ‘Selamat Hari Raya’ oleh Biduanita Negara Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan ‘Selamat Hari Lebaran’ oleh allahyarham Oslan Husein dari Indonesia.
Beliau turut menyatakan tujuan mempersembahkan lagu-lagu itu adalah sebagai penghormatan kepada komposer legenda terdahulu.
“Tujuan saya membawakan lagu ini adalah untuk mengabadikan kembali karya-karya para komposer yang amat saya hormati dan sanjungi,” katanya.
Di pertengahan konsert, M Nasir berkongsi hasrat untuk menjadikan konsert khas Hari Raya sebagai budaya setiap kali musim Aidilfitri tiba.
“Konsert Hari Raya ini sangat istimewa. Saya harap boleh jadi satu budaya. Maknanya, setiap kali Hari Raya mesti kena ada konsert.
“Macam menarik kalau kita kongsi banyak lagu nostalgia macam malam ini kita tunggu tahun depan,” ujarnya.
M Nasir menutup malam tersebut dengan persembahan yang bertenaga termasuk ‘Satu Hari di Hari Raya’ versi ‘Rock Punk’, ‘Raya Sedondon’ dan medley ‘Esok Hari Raya’ yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Berbeza dari tahun sebelumnya, tahun ini beliau bersama penganjur turut menyediakan sampul duit raya di setiap kerusi penonton sebagai tanda penghargaan.
Dengan gabungan elemen muzik, nostalgia, dan semangat Hari Raya, Konsert Cipta Raya M Nasir menjadi satu pengalaman yang penuh magis dan pastinya akan dikenang oleh peminatnya.