Oleh: Haikal Tajuddin
MENDEDAHKAN keterujaan peminat terhadap festival yang mengumpulkan pelbagai artis terkemuka, kini lebih 4,000 tiket One Love Music Festival 2024 yang bakal berlangsung pada 21 Disember nanti telah terjual.
Festival yang bakal berlangsung di Dewan A, MAEPS Serdang itu akan menampilkan persembahan yang menarik daripada 12 artis ikonik, termasuk artis dari Malaysia dan Indonesia.
“Antara persembahan utama dari festival tersebut adalah daripada kumpulan popular seperti Kugiran Masdo, Hujan, Insomniacks, Bunkface, Drama Band, 53 Universe, dan pencetus irama Ska di Malaysia, kumpulan Gerhana Ska Cinta.
“Festival ini juga akan menampilkan persembahan daripada Feby Putri, Nadin Amzah, Nabila Taqiyyah, dan Salma Salsabil.
“Dengan lebih 4,000 tiket telah dijual, keterujaan sekitar festival itu semakin meluas,” kata Penganjur, Tuff KL.
Sejajar dengan perkara tersebut, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tuff KL, Muhammad Zul Aqil, turut mengakui misi utama penubuhan Tuff KL adalah untuk menyatukan orang ramai dari pelbagai kumpulan muzik dan komuniti.
Tambah beliau lagi, One Love Music Festival bukan sekadar konsert, ia adalah gerakan yang bertujuan untuk memanfaatkan kuasa muzik demi menghubungkan individu daripada pelbagai latar belakang.
“Sejak awal kami pada 2021, kami telah berkembang daripada menjual merchandise pertama kepada penganjuran acara yang bukan sahaja menghibur tetapi juga memberi impak.
“Dalam era di mana hubungan sosial kadangkala terasa rapuh, festival ini berfungsi sebagai peringatan tentang kegembiraan dan perpaduan yang dapat dibawa oleh muzik secara langsung,” jelasnya.
Jangan lepaskan peluang anda dan layari laman sesawang www.ticketmelon.com untuk mendapatkan tiket ke One love Music Festival 2024 bertempat di Maeps Serdang pada 21 Disember nanti!