BAGI peminat tegar Bollywood di seluruh Asia Tenggara, satu peluang emas bakal tiba apabila penyanyi legenda, Udit Narayan, akan mengadakan konsert sulungnya di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 28 November depan.
Dengan suara merdunya yang telah memeriahkan dunia muzik Bollywood selama lebih tiga dekad, Udit bukan sahaja terkenal dalam kalangan peminat berbahasa Hindi, malah suaranya turut mewarnai filem dalam bahasa Tamil, Bengali, Telugu dan Kannada.
Nama Udit sudah sinonim dengan ikon-ikon Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Amir Khan dan Amitabh Bachchan, di mana suaranya menjadi suara latar kepada adegan-adegan romantik yang memukau.
Dengan lebih 25,000 lagu dalam lebih 36 bahasa dan 22.3 juta pendengar di Spotify, Udit terus mengukuhkan tempatnya sebagai salah satu legenda terbesar dalam industri muzik Bollywood.
Baca juga: Liza Hanim ‘curah’ rasa hati wanita dalam Perisai Cinta
Udit mula mencuri perhatian pada tahun 80-an dengan lagu hit Papa Kehte Hain, yang berjaya meraih anugerah Filmfare pertamanya.
Kejayaannya memuncak dengan lagu-lagu dari filem Qayamat Se Qayamat Tak, yang bukan sahaja menjadikan Udit kegemaran pengarah muzik, malah melonjakkan popularitinya dalam kalangan peminat di seluruh dunia.
Udit juga terkenal dengan gandingan epiknya bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Alka Yagnik, Lata Mangeshkar dan Kumar Sanu, menghasilkan lagu-lagu hit dari filem klasik seperti Kuch Kuch Hota Hai, Dil To Pagal Hai, Mohabbatein dan Kabhi Khushi Kabhie Gham.
Suaranya yang penuh emosi dan versatil telah membawa beliau bekerjasama dengan pengarah muzik ternama seperti Anu Malik, Jatin-Lalit, A.R. Rahman dan Shankar Mahadevan.
Filem-filem dari pengarah tersohor seperti Yash Chopra, Sanjay Leela Bhansali dan Karan Johar juga sering dihiasi dengan lagu-lagu nyanyian Udit, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Raja Melodi Bollywood.
Baca juga: Exists X Masdo bakal gegarkan Dewan Merdeka November depan
Malah, 21 lagunya dipilih dalam senarai 40 Lagu Terbaik Bollywood Sepanjang Zaman oleh BBC, satu penghormatan yang hanya diberikan kepada penyanyi paling ikonik.
Konsert tersebut yang dianjurkan oleh Filloz International dan LR Asia dijangka akan menjadi perhimpunan terbesar peminat Bollywood di Asia Tenggara.
Peminat kini berpeluang mendapatkan tiket mereka lebih awal dengan diskaun istimewa 10 peratus sehingga 16 September 2024.
Pilihan tiket bermula pada harga RM109 (Kadhal Pesase), RM199 (Papa Kehre Hain), RM399 (Bole Chudiyan), RM599 (Dil To Pagal Hai), RM899 (Kokkorakko) dan RM1,999 (Jadu Teri Nazar).
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan suara emas Bollywood ini secara langsung! Jumpa di sana!