SELEPAS mengadakan konsert sulungnya beberapa bulan lalu, Liza Hanim tampil dengan single terbaharu berjudul “Perisai Cinta”.
Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 44, yang sememangnya tersohor kerana kehebatannya membawa lagu-lagu berentak balada, berkongsi erti disebalik lagu itu yang juga runut bunyi asli sebuah drama bersiri iaitu Ternyata Sebuah Bahagia.
Karya tersebut merupakan kali pertama beliau bekerjasama dengan Omar K dan Shazriq Azeman selaku pencipta dan penulis lagu.
“Saya memang dah lama ingin menyanyikan lagu-lagu Omar K kerana muzik beliau seiring serta sesuai dengan zaman dan bersifat kekinian namun peluang itu tidak pernah ada sebelum ini.
Baca juga: Andi Bernadee sertai keluarga Universal Music Malaysia
“Jadi saat dapat berkolaborasi buat pertama kali, saya begitu teruja dan gembira. Apatah lagi ini kali pertama bertemu dengannya,” ujarnya sambil tersenyum.
Menariknya, kisah disebalik lagu Perisai Cinta itu menggambarkan suara hati watak wanita sebagai pelakon utama drama tersebut yang bernama Janice, lakonan Sarimah Ibrahim.
Baca juga: Exists X Masdo bakal gegarkan Dewan Merdeka November depan
Lagu tersebut menjelaskan bahawa dalam setiap kesusahan dan setiap apa yang kita lakukan, kadangkala kita lalai dan kita rasa seperti kita perlu bergantung pada seseorang manusia namun, tanggapan itu salah.
Walaubagaimanapun, suatu hari wanita itu sedar satu-satunya tempat bergantung adalah hanya kepada Allah SWT dan bukan manusia biasa.
Karya yang begitu menyentuh jiwa serta memberikan gambaran realiti menerusi drama bersiri tersebut bakal diluncurkan pada 6 September 2024 , “Perisai Cinta” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. — Arena Muzik