PENYANYI dan pelakon tanah air, Siti Nordiana kembali selepas 25 tahun berada dalam industri nyanyian dengan menampilkan lagu duet bersama Tomok yang berjudul, Memori Mungkin Berulang yang telah diluncurkan pada 7 Jun 2024.
Menjadi satu detik sejarah apabila kedua-dua penyanyi hebat tersebut berkolaborasi buat kali pertama, Siti Nordiana atau lebih gemar dipanggil Nana dan Tomok sepanjang berada dalam dunia seni nyanyian.
Sehubungan itu, cetusan idea bagi mencipta single tersebut bermula apabila Nana dan Tomok berbual secara tidak sengaja dalam satu persembahan pentas.
Baca juga: Westlife menyinari malam 5,000 peminat di Arena of Stars
Lagu tersebut adalah hasil ciptaan sepenuhnya Nana dan Tomok dengan menyuntik masuk nuansa muzik hits mereka iaitu Sejarah Mungkin Berulang dan Memori Berkasih.
Karya yang masih mengekalkan ritma dan melodi 90-an itu berjaya mengembalikan kenangan lagu-lagu hits yang menjadi siulan para pendengar muzik ketika zaman kegemilangan muzik pada era tersebut.
Lebih istimewa lagi, lagu tersebut disediakan bersama dengan muzik video yang memaparkan konsep dan suasana era 90-an agar peminat boleh mengenang semula memori silam mereka.
Baca juga: Ada Apa dengan Melly & Friends: Seramai 10,000 peminat lulus graduasi
Muzik video yang berjaya menangkap jiwa ramai peminat diarahkan oleh Hadith Omar iaitu pengarah terkenal drama, Dia Semanis Honey, bersetuju untuk menjayakan muzik video tersebut yang hanya mengambil masa selama dua hari yang bertempat di sekitar Bandaraya Melaka.
Difahamkan, baru sahaja lima hari lagu Memori Mungkin Berulang disiarkan di Youtube, sudah berjaya mendapat lebih 200,000 tontonan.
Lagu Memori Mungkin Berulang boleh ditonton di Youtube Siti Nordiana serta boleh didengarkan dan dimuat turun di semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. — Arena Muzik