KREDIBILITI dimiliki penyanyi Adira Suhaimi dalam industri muzik tanahair tiada siapa boleh pertikai. Dia berjaya mencorak kanvas seni tersendiri dengan bakat yang dimiliki.
Malah, aura bintang itu sudah terpancar sejak di awal kemunculan kerjaya beliau.
Selepas lebih sedekad dalam industri muzik, Adira sudah merakamkan lebih 10 lagu runut bunyi hingga diberikan jolokan ‘Ratu Soundtrack’.
Terbaharu, Adira sekali lagi berpeluang merakamkan lagu runut bunyi bagi filem ‘Memoir Seorang Guru’ yang diterbitkan oleh Nova Music hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman berjudul Kasih.
Baca juga: The A.C.A.B. imbau nostalgia selepas 18 tahun, bakal gegar Auditorium Muzik Bentley 1 Jun depan
Baca juga: Linkin Park pertimbang semula ingin muncul dengan vokalis baru pada tahun 2025
Pelantun lagu Ombak Rindu itu berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem terbaharu.
Tidak kisah dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’, naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan itu hanya mahu kekal relevan dalam era muzik semasa.
Adira menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap diputarkan baik di panggung wayang, kaca televisyen atau radio. Ini sekali gus, dapat mempopularkan lagu yang dinyanyikan.
Video muzik lagu “Kasih” kini boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/p86rNp0NWNM.
Sekadar info, filem ‘Memoir Seorang Guru’ bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei 2024.
Filem adaptasi novel Azizi Hj Abdullah ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor sebagai teraju utama serta pelakon Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa’ri, Trisha Ooi dan ramai lagi. — Arena Muzik