SIAPA tidak kenal dengan pelantun suara lagu Gelisah Mimpi iaitu Liza Hanim yang kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single baharu berjudul Takdir Itu Milik Aku.
Setelah mencapai kejayaan menerusi Konsert Liza Hanim 27 Years Journey di Zepp Kuala Lumpur, beliau kini menjadikan lagu Takdir Itu Milik Aku sebagai taruhan baharu sekali gus ‘senjata’ buatnya mengukuhkan kedudukan dalam industri hiburan tanah air.
“Sebagai manusia biasa, kita diuji dengan pelbagai dugaan dan segala penderitaan dan pengorbanan adalah sebahagian dari takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Akhirnya,kita harus menerima dengan penuh redha dan berserah kepada takdir yang telah tertulis buat kita dari-Nya,” katanya pemilik namaHaliza Hanim Abdul Halim, 45, itu.
Baca juga: Raye catat rekod baru, menang 6 anugerah BRIT 2024
Baca juga: Joe Flizzow ‘bongkar’ kisah sebenar dunia hip hop dalam This Is Johan
Lagu tersebut merupakan karya hasil kerjasama komposer Ejai Aziz dan Kelana manakala lirik lagu itu dihasilkan oleh penulis tersohor, Siti Rosmizah yang pasti sahaja memiliki unsur ‘wow’ dalam lagu tersebut.
Lagu Takdir Itu Milik Aku merupakan runut bunyi (OST) bagi drama berjudul sama, Takdir Itu Milik Aku.
Lagu Takdir Itu Milik Aku boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music.
Sekadar info, Liza Hanim telah memenangi berbagai penghargaan, termasuk penghargaan vokal terbaik di Anugerah Juara Lagu 17 pada tahun 2003. Dikenal dengan lagu-lagu hit seperti Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara, Gelisah Mimpi, Ku Teruskan, dan Merawat Luka Terpendam, Liza Hanim juga telah menorehkan kejayaan dengan tujuh album studio dan lima album kompilasi. — Arena Muzik