“Engkau bukanlah sebuah kesalahan, tak pernah aku menyesal mengenalmu, tapi biarkanlah aku terbang bebas, mencari cinta sejati.”
Bait kata lagu pelantun bersuara garau, Cakra Khan berjaya hipnosis hampir 3,000 penonton sempena Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu lalu.
Selain daripada memberi persembahan yang cukup menambat hati, pria yang bakal menginjak usia 32 tahun pada 27 Februari itu turut tampil dengan sisi humor dan lelucon sehingga membuatkan audien terhibur.
Sebaik sahaja tirai persembahan dibuka, tanpa membuang waktu Cakra terus melontarkan suaranya dengan mengalunkan lagu Mencari Cinta sejati sebagai mukadimah konsert.
Tanpa memakan waktu lama, emosi romansa lantas menular dalam kalangan penonton. Setiap daripada mereka turut menyanyikan bersama lagu tersebut dengan penuh perasaan.
Kemudian, persembahan diteruskan dengan lagu Setelah Kau Tiada, Salah Tapi Baik dan Terlanjur Cinta.
Baca juga: Kenangan Terindah jadi kekuatan Bams Samsons
Usai selesai menyanyi, penyanyi berusia 32 tahun itu berehat seketika dengan berbual bersama penonton, sementara menunggu kemunculan bintang undangan iaitu Dayang Nurfaizah di atas pentas.
“Terima kasih kerana sudi menerima saya buat kali kedua. Sokongan anda benar-benar memberi kekuatan buat saya untuk menghiburkan kalian semua.
“Sambutan dan sokongan hebat daripada peminat di Malaysia, memang luar biasa. Saya cukup puas membuat persembahan pada hari ini,” katanya.
Kemudian, Dayang muncul, dan tanpa membuang waktu, kedua-dua beradu suara saat menyanyikan lagu Di Pintu Syurga. Jelas lagu yang menjadi runut bunyi bagi drama bersiri Ariana Rose tu benar-benar ‘berhantu’.
Dengan penuh penghayatan, setiap bait lagu ciptaan Tam Spider dan Allahyarham Imran Iman diibaratkan seperti virus yang bergerak di setiap pembuluh darah sehingga membuatkan bulu roma meremang.
Tidak dengan hanya satu lagu, Dayang kemudian mendominasi pentas dengan menyampaikan lagu Nak Dara Rindu dan Umpan Jinak Di Air Tenang.
Baca juga: Pentas impian Liza Hanim
Sebaik selesai, Cakra kembali menghiburkan penonton dengan beberapa lagu sebelum mempersilakan si jelita, Rossa.
Hubungan mesra antara Rossa dan Cakra jelas kelihatan apabila kedua-duanya saling memanggil antara satu sama lain dengan nama panggilan.
Kedua-duanya saling bergandingan saat menyanyikan lagu Terlanjur Cinta. Perasaan cinta memenuhi segenap ruang.
Tidak hanya itu, Rossa turut menyanyikan dua lagu iaitu Lupakan Cinta dan Terlalu Cinta.
Persembahan kemudian dilanjutkan dengan nyayian solo Cakra sebelum kemunculan Judika yang menggamatkan suasana pentas.
Gabungan mantap kedua-dua mereka jelas memberikan impak luar biasa kepada penonton. Menyanyikan lagu Bukan Dia Tapi Aku, kehebatan vokal Cakra dan Judika membuatkan penonton terpaku dan terpesona, mendengarkan kelunakan suara mereka.
Sebelum mengundurkan diri, Judika sempat menyanyikan satu rangkap lagu Aku Yang Tersakiti setelah dipujuk Cakra. Sikap sporting Judika membuatkan barisan audien berasa senang dan terharu.
Baca juga: Nike Ardilla, Melly Goeslow bersatu dalam Kembali Bertemu
Tidak dinafikan, kehadiran Judika benar-benar memberikan suntikan semangat sehingga dirasakan tidak puas menyaksikan persembahan mereka berdua.
Sebelum tirai persembahan dilabuhkan, menyanyikan lagu Khalayan nyanyian Black Dog Bone dan Harus Terpisah sebagai pelengkap pada konsert malam itu.
Jelas terpancar kepuasan di wajah setiap penonton yang hadir tidak mengira sama ada dari Malaysia, Indonesia, Brunei atau Singapura, masing-masing meluahkan rasa gembira dan mengharapkan agar Cakra mengadakan lagi persembahannya di Malaysia pada masa akan datang.
Dalam pada itu Cakra turut menerima kejutan daripada peniaga burger yang juga orang kelainan upaya (OKU), Jaheerah Nadzri atau Eerah dengan membawa burger hasil air tanganya.
Kata Cakra, tertarik dengan sifat kesungguhan dan kesabaran Eerah yang tetap positif meskipun mengalami kekurangan fizikal dalam video yang tular di media sosial.
“Dia seorang yang kuat dan positif, saya melihat dia sebagai seorang yang penuh dengan harapan dan membuatkan saya bersyukur dengan nikmat yang saya ada,” katanya.
Tidak hanya itu, Cakra juga dikejutkan dengan kehadiran anak saudara penyayi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Ummi Umaira, 12, yang juga anak kepada Siti Saerah.
Bahkan Datuk Ramli MS sendiri memuji kehebatan suara Ummi ketika diminta menyanyikan bersama Cakra lalu Seluruh Cinta di samping kejutan kek hadiah hari jadi. — Arena Muzik