SIAPA tidak kenal dengan penyanyi asal Indonesia, Melly Goeslow atau nama penuh Meliana Cessy Goeslow yang sekali lagi bakal muncul dengan konsert istimewa pada 1 Jun depan.
Konsert itu akan menjadi persembahan susulan kejayaan Ada Apa Dengan Melly? (AADM) 3 Februari lalu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Mengimbas kembali konsert AADM lalu, Melly menghidangkan persembahan yang memukau serta konsep kembali ke zaman persekolahan telah menarik perhatian ramai sekali gus memberikan kenangan cukup indah dalam kotak kenangan penonton.
Tidak sahaja penonton, bahkan ‘lambakan’ artis popular tanah air turut tidak ketinggalkan untuk menyaksikan persembahan pemuzik genius itu di depan mata. Antara yang hadir pada waktu itu ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Amy Search, Datuk M. Nasir, Nur Fazura, Fattah Amin, Wany Hasrita dan Amira Othman.
Baca juga: Lagu Taylor Swift, Miley Cyrus antara 5 karya popular 2023
Baca juga: Diaspora nostalgia UK’s, Slam atas satu pentas
Kumpulan selebriti itu turut hadir dengan mengenakan pakaian seragam sekolah sebagai tanda sokongan terhadap konsert tersebut, yang juga secara tidak langsung memberikan impak besar dan keunikan.
Susulan atas kejayaan konsert terdahulu, Melly kembali dengan sentuhan konsep berbeza dengan ideologi dan konsep baharu sempena persembahannya yang akan datang pada 1 Jun depan.
Tentu sahaja kemunculan penyanyi berusia 50 tahun itu menjadi satu perkara yang paling dinantikan dan bakal tidak dapat dilupakan oleh penonton yang hadir.
Satu perjanjian yang termeterai berdasarkan kisah cinta dan persahabatan belum selesai selagi belum bertemu pada enam bulan yang akan datang.
Untuk info, konsert Ada Apa Dengan Melly? pada tahun 2023 laris terjual sehingga ada peminat meluahkan rasa kecewa kerana tidak berkesempatan untuk membeli tiket ketika itu.
Maka, jangan lepaskan peluang bagi konsert sorotan AADM akan datang dan membeli tiket dengan lebih awal apabila penjualan tiket bermula nanti. — Arena Muzik