PENYANYI veteran Datuk M. Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira pukul 4.40 petang, Isnin.
Khabar duka itu dikongsi cucu Allahyarham yang dikenali sebagai Hasnorikram di Instagram storynya.
“Atuk saya Mohd Daud bin Kilau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi. Al-Fatihah,” katanya.
Pemilik nama sebenar Muhammad Daud Kilau itu sebelum ini dilaporkan berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.
Baca juga: Ibnor Riza meninggal dunia
Baca juga: Suhaimi Saad meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru
Penyanyi berusia 85 tahun itu pada Mei lalu juga pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan gara-gara masalah sesak nafas.
Difahamkan jenazah akan dimandikan di Hospital Teluk Intan sebelum dibawa pulang ke rumah beliau di Kampung Sungai Balai Baroh Bagan Datuk malam Isnin.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Terapung Tuminah Hamidi Bagan Datuk sebelum Zohor esok untuk disembahyangkan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Baroh Bagan Datuk selepas solat Zohor.— Arena Muzik