Oleh: Aliyaa Azmi
Penyanyi popular, Haqiem Rusli terus membuktikan pengaruhnya dalam industri muzik apabila menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas RIM untuk lagu hitnya, Mimpi, selepas meraih pendapatan melebihi RM100,000 hasil penstriman digital.
Majlis penganugerahan berlangsung di Ibu Pejabat Recording Industry Association of Malaysia (RIM) di Solaris Mont’ Kiara, sekali gus mengiktiraf kejayaan audio dan video Mimpi yang terus mendapat sambutan kukuh walaupun sudah lima tahun dilancarkan.
RIM dalam kenyataan memaklumkan, angka pendapatan lagu itu telah diaudit berdasarkan jumlah muat turun serta strim di platform digital tempatan dan antarabangsa.
“Pensijilan yang diberikan kepada Mimpi membuktikan penerimaan dan sokongan kukuh terhadap rakaman muzik tempatan, bukan sahaja dari kalangan rakyat Malaysia bahkan di luar negara.
“Kami mengucapkan tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas dedikasi mereka,” kata Pengerusi RIM, Rosmin Hashim.
Haqiem, yang mencipta lagu itu bersama penerbit terkenal, Datuk A. Aida dan diterbitkan oleh FMC Music, mengakui terharu dengan pengiktirafan tersebut.
“Saya amat bersyukur atas sokongan peminat, FMC Music dan seluruh pasukan. Mimpi sentiasa menjadi karya yang dekat di hati saya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus PR FMC Music menyifatkan anugerah tersebut sebagai bukti bahawa karya Haqiem benar-benar meninggalkan kesan.
“Setiap nota dan lirik Mimpi lahir daripada jiwa Haqiem. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini,” ujarnya.
Dilancarkan pada Disember 2020, Mimpi mencatat hampir satu juta tontonan dalam beberapa hari selepas video muziknya dimuat naik ke YouTube, selain menduduki carta trending platform itu.
RIM turut mengulangi bahawa setiap pengiktirafan diberikan melalui prosedur audit yang telus, sekali gus memastikan kredibiliti anugerah tersebut.
Antara selebriti lain yang pernah menerima pengiktirafan jualan RIM termasuk Fazura, MOJO dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
