Oleh: Aliyaa Azmi
Selepas dua tahun tanpa sebarang perkembangan terkini, ikon hip hop tanah air Joe Flizzow kembali menghangatkan industri dengan single terbaharu berjudul “501”.
Karya yang menggabungkan refleksi kematangan, ketenangan dan keyakinan ini menandakan fasa baharu dalam evolusi seninya.
Ditulis sepenuhnya oleh Joe Flizzow dan digubah serta diterbitkan oleh duo berpengaruh, SonaOne & Gard, “501” menyatukan semula tenaga kreatif yang pernah mendominasi pentas muzik tempatan.
Pelancaran “501” dilihat sebagai kepulangan paling tepat waktunya buat Joe, yang sebelum ini melalui tempoh rehat kreatif, pertumbuhan peribadi dan penilaian semula perjalanan seninya.
Semua itu diterjemahkan dalam lirik yang kukuh, mesej ketahanan diri serta produksi yang lebih matang dan terarah.
Gabungan Joe bersama SonaOne dan Gard sekali lagi membuktikan keserasian mereka. Bunyi kontemporari yang dipadukan dengan gaya penyampaian Joe menghadirkan identiti tersendiri bagi “501”: jujur, padat dan berani bereksperimen.
Menariknya, dunia “501” berkembang lebih jauh melalui video muzik rasmi yang memaparkan visual gelap, tegang dan penuh emosi.
Adegan-adegan aksi serta suasana suram membuka ruang misteri yang lebih besar, membuatkan penonton tertanya-tanya tentang kisah sepenuhnya.
Lebih dramatik, video muzik itu berakhir dengan paparan “To Be Continued”, memberi bayangan bahawa “501” hanyalah bab pertama kepada naratif yang bakal bersambung.
“501” kini boleh distrim di semua platform digital, lengkap dengan video muzik rasminya.
