Oleh: Aliyaa Azmi
Selepas mencipta fenomena menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL), penyanyi bersuara lantang, Ara Johari kembali mengusik jiwa peminat dengan karya terbaharu berjudul Terlalu Bodoh.
Masih dalam jalur tema ‘galau’ yang menjadi identiti dan kekuatan vokalnya, lagu ciptaan komposer seberang, Ilham Baso ini dianggap kesinambungan emosi daripada MJOL tetapi dengan luka yang lebih dalam dan rasa kecewa yang lebih menikam.
Menurut Ara, atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, Terlalu Bodoh membawa pendengar menyelami kisah seseorang yang berjuang sepenuh hati demi cinta, namun akhirnya tewas apabila dikhianati insan yang paling dipercayai.
“Bagi Ara, lagu Terlalu Bodoh ni merupakan kesinambungan dari Menjaga Jodoh Orang Lain. Ia tentang seseorang yang bermati-matian demi cinta namun akhirnya dicurangi. Ara rasa ramai pendengar kat luar sana boleh relate dengan lagu ni,” katanya.
Single tersebut menjalani proses rakaman di Indonesia pada September lalu, mengekalkan formula yang sama seperti MJOL, komposer Ilham Baso, penggubah muzik Adrian Rahmat Purwanto dan bimbingan vokal Bowo Soulmate, sekali lagi bergabung bagi mencipta magis yang sama.
Lagu Terlalu Bodoh diterbitkan dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia, dan sudah boleh distrim di semua platform digital mulai 19 November lalu.
Sebagai rekod, MJOL yang dilancarkan pada 30 Julai 2024 kini mengumpul lebih 75 juta penstriman di pelantar digital dan YouTube, menjadikan ia antara hit terbesar dalam kerjaya Ara Johari.
Dengan respons hangat peminat terhadap karya ‘galau’nya sebelum ini, tidak mustahil Terlalu Bodoh bakal mencipta gelombang emosi dan kejayaan baharu buat penyanyi berbakat ini.
