oleh Nadhirah Akmam
Penyanyi bervokal mantap, Ernie Zakri kembali dengan muzik baharu berjudul ‘Perjalanan’, hasil kerjasama istimewa bersama komposer terkemuka Indonesia, Andi Rianto. Lagu ini menyatukan kekuatan penceritaan Ernie dan sentuhan emosi Andi dalam satu karya yang ringkas tetapi mendalam.
‘Perjalanan’ membawa tema pengalaman hidup dan cabaran yang ditempuhi kedua-dua artis sepanjang berada dalam industri. Dengan melodi penuh jiwa serta lirik jujur, ia hadir sebagai refleksi diri dan penghargaan terhadap perjalanan setiap insan.
“Andi minta saya tulis lirik tentang apa yang saya rasa. Dari situ kami sama-sama mengimbau perjalanan hidup dan lahirlah ‘Perjalanan’,” katanya dalam satu kenyataan.
Andi Rianto pula menjelaskan bahawa inspirasi utama komposisi lagu ini adalah Ernie sendiri.
“Saya rasa dia sudah melalui begitu banyak perkara, dan ini masa paling tepat untuk dia menyanyikan lagu seperti ‘Perjalanan’,” ujarnya.

Proses penciptaan lagu berlaku secara spontan sepanjang workshop. Andi menemui melodi utama secara tidak dirancang, manakala perbincangan konsep pula mengalir secara natural, menjadikan kerjasama mereka lebih organik.
Ernie turut menyifatkan bekerja dengan Andi sebagai pengalaman yang mudah dan terbuka. Beliau diberi kebebasan penuh untuk menulis kisah sendiri, sementara Andi mencipta melodi berdasarkan penceritaan peribadinya.
Dari sudut bunyi, Ernie menegaskan identiti vokalnya tetap menjadi fokus utama walaupun lagu ini membawa sentuhan khas Andi. Bagi Andi pula, elemen terpenting ‘Perjalanan’ ialah vokal emosional Ernie yang dianggapnya kekuatan sebenar lagu ini.
‘Perjalanan’ turut dipilih sebagai OST drama baharu TV3, Cinta Anak Lorong, sekali gus menguatkan impak emosinya. Lagu ini kini tersedia di semua platform digital, sementara Ernie dalam perancangan mengadakan sesi bertemu peminat sebagai projek seterusnya.
