Arena Muzik
  • Utama
  • Berita
  • Rencana
  • Wawancara
No Result
View All Result
Arena Muzik
  • Utama
  • Berita
  • Rencana
  • Wawancara
No Result
View All Result
Arena Muzik
No Result
View All Result

Shila Amzah Merayakan 25 Tahun Perjalanan Seni dengan ‘SA25’

admin by admin
November 26, 2025
in hiburan
0
1
VIEWS
Share on FacebookShare on Twitter

Oleh: Aliyaa Azmi

Penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah, kembali dengan album terbaharu bertajuk ‘SA25’, simbolik kepada perjalanan 25 tahun beliau dalam industri seni sejak kemunculan pertamanya pada tahun 2000.

Album ini memuatkan 10 lagu baharu, satu lagu remake, serta empat ‘bonus track’, yang membawa pendengar menyusuri fasa-fasa penting dalam hidup dan kerjaya Shila.

Menurut Shila, pemilihan tajuk album itu mempunyai makna peribadi yang mendalam.

“SA itu mewakili nama saya, Shila Amzah, manakala 25 merujuk kepada ulang tahun saya bergelar anak seni. Ini adalah fasa terbaik dalam hidup dan kerjaya saya,” katanya.

Dalam ‘SA25’, Shila menampilkan sisi lebih matang sebagai penyanyi, komposer, dan penulis lirik. Beberapa lagu telah dihasilkan beberapa tahun lalu, termasuk “Tinggal Kenangan” yang ditulis pada 2017, sementara karya baharu lain menggambarkan pengalaman hidupnya yang unik.

“Album ini bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi jurnal hidup saya. Setiap lagu mencerminkan fasa dan situasi berbeza yang saya lalui. Walaupun bekerjasama dengan beberapa komposer berlainan, DNA muzik saya tetap dikekalkan,” kata Shila.

Shila berkongsi bahawa “Sirna Hati” adalah lagu paling mencabar untuk disiapkan, berdasarkan pengalaman penderaan emosi dan fizikal yang pernah dilaluinya. Sokongan suaminya, Ubai, banyak membantu dalam proses kreatif tersebut.

“Ubai galakkan saya menulis untuk menutup buku lama, ibarat menulis diari dan menutupnya untuk selamanya,” tambahnya.

Selain itu, lagu-lagu yang paling dekat di hati Shila termasuk “Kamu”, “Untukmu” (didedikasikan khas buat suami), dan “Pernah Punya Aku”, single pertama album ini yang telah menjuarai carta Muzik Muzik 40 selama tiga minggu berturut-turut dan kini naib juara ERA 40.

Album ‘SA25’ turut menampilkan kolaborasi dengan beberapa nama lama yang rapat dengan Shila, antaranya Izzy Musa, Raja Nazrin Shah, dan suaminya sendiri, Ubai, bagi memastikan identiti muzik Shila tetap utuh.

Empat ‘bonus track’ dipilih kerana nilai sentimental mereka:

  • “Penyejuk Hati” – ciptaan Shila untuk anaknya, Seth Uwais
  • “Jauh Hati” – titik tolak kekuatan baru Shila
  • “Tiada Dirimu” – rakaman ketika hamil, membuka jalan kerjasama dengan Nova Music & Seventeen Eleven Music
  • “Khilaf Asmara” – ditulis sahabat baiknya, Amylea Azizan, sewaktu Shila baru bersalin

Shila juga merakam semula lagu popular “Memori Tercipta”, merayakan perjalanan seni yang telah ditempuhnya sejak program ‘One In A Million’.

“Versi baharu ini meraikan perjalanan yang sudah ditempuh. Ia bukan untuk menggantikan rakaman lama, tetapi untuk meraikan momen hari ini,” kata Shila.

Jika perlu diringkaskan dalam satu kata, Shila menyifatkan album ‘SA25’ sebagai kekuatan. Setiap lagu membawakan mesej bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan, dan kehilangan, ibarat sebuah roller coaster emosi.

Shila merancang jelajah ‘SA25’, dengan konsert terdekat dijadualkan pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Album ini diterbitkan secara usahasama antara Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment, syarikat rakaman milik Shila, dan akan tersedia secara fizikal di platform e-dagang serta digital bermula 25 November 2025. Video muzik rasmi single kedua, “Tinggal Kenangan”, akan disiarkan di YouTube Nova Music Video pada jam 8 malam hari yang sama.

“Saya berharap album ini diterima baik, memberi kekuatan kepada para pendengar, dan meninggalkan impak positif di dalam dan luar negara. Semoga setiap lagu ada tempatnya di hati peminat,” kata Shila.

Previous Post

Malique Tak Sabar Saksi Konsert genKRU Sabtu Ini

Arena Muzik

© 2023 ARENAMUZIK - Destinasi Utama Muzik dalam Talian.

Navigate Site

  • Tentang kami
  • Iklan
  • Privasi Polisi & Keselamatan
  • Contact Us

Follow Us

No Result
View All Result
  • Utama
  • Berita
  • Rencana
  • Wawancara

© 2023 ARENAMUZIK - Destinasi Utama Muzik dalam Talian.