Oleh: Aliyaa Azmi
Universal Music Malaysia bersama PMP Entertainment meraikan ulang tahun ke-40 Datuk Sheila Majid dalam industri muzik dengan pelancaran edisi terhad koleksi vinyl yang memuatkan kesemua lapan albumnya.
Pelancaran ini mencatat sejarah kerana Sheila Majid menjadi artis Malaysia pertama yang memiliki kesemua album dalam format vinyl. Lebih istimewa, hanya 300 set sahaja ditawarkan kepada peminat, menjadikannya koleksi eksklusif dan berharga.
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng berkata pelancaran ini bukan sekadar bersempena dengan Konsert Sheila Majid 40 Years in Music yang akan berlangsung pada 8 November, tetapi juga sebagai hadiah buat peminat setia.
“Ramai peminat sering bertanya bila semua album Datuk Sheila Majid akan tersedia dalam format vinyl. Ia diharap dapat mengimbau kenangan peminat yang membesar dengan lagu-lagu beliau serta perjalanan seninya,” katanya.

Pra-tempahan akan mula dibuka pada 23 September jam 12 tengah hari dengan harga istimewa RM1,499, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599. Vinyl edisi terhad ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober.
Projek ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa label utama termasuk EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Lapan album yang dimuatkan dalam set eksklusif itu ialah Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka.