PENYANYI, komposer, dan ikon fesyen tanah air, Hael Husaini, bakal melakar sejarah dengan konsert solo pertamanya, Konsert Hael Husaini & Repertoire di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2025.
Pengumuman rasmi dibuat dalam program Big Stage Alpha pada 1 Jun lalu, membuktikan bahawa konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan tetapi satu pengalaman artistik lengkap yang menggabungkan muzik, visual dan fesyen dalam satu malam eksklusif.
Hael, yang dikenali dengan vokal dinamik serta kejayaannya di pentas antarabangsa, menjanjikan pengalaman penuh makna buat peminat setianya.
“Konsert ini peribadi bagi saya. Saya mahu para peminat saya merasai apa yang saya rasa, memahami perjalanan saya dan meraikan detik ini bersama-sama,” kata Hael.
Malam bersejarah itu bakal dimeriahkan dengan kehadiran empat artis undangan iaitu Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wany Hasrita dan Nabila Razali yang akan menambah keunikan persembahan.
“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami.
“Dia (Dayang) bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi tetapi juga seorang sahabat sejati. Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia,” ujarnya.
Hael turut memberi petunjuk di media sosial bahawa kejutan lebih besar menanti, mungkin dengan kehadiran beberapa lagi nama besar industri muzik.
Sebagai artis yang dua kali menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan lagu Jampi dan Haram, Hael telah membuktikan kredibilitinya sebagai pencipta muzik prolifik.
Karyanya juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuk lagu Anta Permana ciptaannya untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang telah dipilih untuk playlist rasmi “The King’s Music Room” oleh King Charles III.
“Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” katanya.
Selain itu, lagu Diam turut mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Lagu Tema Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2024.
Tidak hanya di dunia muzik, Hael terus meluaskan legasinya dalam dunia fesyen, mewakili Malaysia di pentas Paris dan Milan Fashion Week 2025 serta memperagakan jenama mewah seperti Dolce & Gabbana, Zegna dan Amiri.
Peminat boleh mendapatkan tiket bermula 3 Jun 2025, tepat pada pukul 12 tengah hari, di laman sesawang ticket2u.com.my.
Harga tiket bermula dari RM120 hingga RM588 bagi kategori VIP Box yang turut menawarkan akses eksklusif seperti sesi meet & greet, merchandise, makanan ringan serta laluan masuk khas.
Dengan gabungan muzik, fesyen dan pengalaman peribadi, Konsert Hael Husaini & Repertoire menjanjikan malam penuh magis buat peminat!