PENYANYI dan pelakon, Kilafairy, bakal berkongsi satu panggung bersama ikon muzik Bollywood, Udit Narayan menerusi Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember nanti di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Khan, 32, dipilih oleh pihak penganjur, VVST Digital Creation kerana kredibilitinya yang fasih menyanyikan lagu Bollywood sebagai seorang penyanyi.
Sementara itu, Kilafairy menyifatkan peluang emas yang diberikan kepadanya umpama mimpi menjadi kenyataan.
“Udit Narayan ada seorang figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana merupakan peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan SRK dalam filem adalah vokal Udit.
Baca juga: Stacy suntik erti ketenangan lewat lagu ‘Menyala’
“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon.
“Saya juga bangga kerana ini merupakan penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan pesohor Udit Narayan. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Satu-satunya anak kepada kepada Allahyarham Rohana Jalil itu, kini giat menjalani latihan vokal sebuah lagu dan dua buah lagu duet lagi bersama penyanyi, Syamel yang akan dibawa pada malam konsert tersebut.
Baca juga: ‘Terpikat’ buah tangan baharu MissAlvy
Bercerita dengan lebih lanjut, ironi dunia Bollywood bukan sesuatu yang asing buat Kilafairy yang mula menyanyi lagu-lagu Bollywood sejak berusia 8 tahun dan menonton
karya-karyanya sejak kecil bersama keluarga.
Secara tidak langsung, hobi tersebut mengembalikan nostalgia ketika menikmati momen bersama keluarga terutama arwah ibu yang kembali ke Rahmatullah pada
2023.
Untuk pembelian tiket boleh layari https://myticket.asia/ atau hubungi VVST Digital Creation di [email protected].
Sebagai makluman, pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur, iaitu VVST Digital
Creation.
Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijanjikan tanpa sebarang masalah. — Arena Muzik