JENAZAH Seniman Negara, Allahyarham Tan Seri Dr Ahmad Nawab, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih hari ini padapukul 11.15 pagi.
Allahyarham atau nama asal, Ahmad Khan Nawab Khan dilaporkan meninggal dunia di kediaman beliau di Taman Melewar, Gombak sekitar jam 3.15 petang.
Sebelum itu, Allahyarham telah dimandi dan dikafankan di Surau Altarbiah Alislamiah Taman Melewar.
Dalam masa yang sama, rakan-rakan industri Allahyarham turut hadir memberikan penghormatan terakhir, antaranya, anak didik Allahyarham, Ramlah Ram, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.
Sekitar 200 individu, termasuk ahli keluarga serta rakan-rakan dari industri seni, hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada maestro muzik tersohor berusia 92 tahun itu.
Untuk rekod, Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006 yang memulakan kariernya sejak berusia 16 tahun.
Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Justeru, Ahmad Nawab pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun dan memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980. — Arena Muzik