PENYANYI, Aizat Amdan kembali dengan single berjudul ‘Tegap Berdiri’ hasil ciptaannya sendiri bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa, terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE).
Aizat atau nama sebenarnya, Muhammad Aizat Amdan, 35, mempunyai alasan tersendiri untuk melahirkan sesuatu karya yang lebih memberi impak kepada pendengar muzik.
“Saya kurang gemar dengan ‘rilisan’ lagu yang bertubi-tubi, dan lebih rela mengambil masa merangka apakah langkah seterusnya dalam kerjaya saya sebagai penyanyi.
“Sebagai contoh, saya menghadkan kepada penghasilan 5 buah lagu sahaja dalam setahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga: Siti Nurhaliza dinobat sebagai Biduanita Negara
Dalam pada itu, Aizat berkongsi tentang bagaimana tercetusnya idea untuk lagu Teguh Berdiri yang berasal dari minatnya terhadap sukan Muay Thai yang diluahkannya ketika sesi rakaman.
“Uniknya lagu ini lahir secara tidak sengaja ketika saya mengendalikan sesi podcast bersama Mel dan abang saya, Amar. Ketika itu, kami berbincang tentang hal-hal semasa, tentang zaman kegemilangan sukan bola sepak negra di sekitar tahun 1998, terdetik di hati, sekalipun kalah ‘di akhir nanti kau masih tegap berdiri’ yang menjadi bait-bait lirik lagu saya.
Baca juga: Exists, Masdo bangkit aura nostalgia
“Mesej lagu ini tentang perjuangan, ada kalanya menang dan ada kalanya kalah dalam hidup, sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pasang surutnya, kadangkala naik dan turun, namun apa yang penting, kehidupan perlu diteruskan dengan minda yang positif,” ujarnya lagi.
Aizat turut berkongsi singlenya kali ini, dia bawakan genre pop dengan pengaruh muzik ‘City Pop’ yang pernah menjadi fenomena disekitar tahun 80-an di Jepun.
“Saya olahkannya dalam versi sendiri dengan melodi masakini, lalu saya gelarkannya ‘KL-City Pop’. Video Muzik (MV) turut dihasilkan bersamaan dengan single ini yang mengisahkan perjalanan saya ketika mula-mula menceburi sukan Muay Thai, dari latihan yang ‘biasa-biasa’ sehinggalah ‘fight’ saya yang pertama,” jelas Aizat.
Menariknya, lagu Tegap Berdiri boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan Youtube Music. — Arena Muzik