MENGANGKAT tema tentang realiti manusia yang sering tidak sedar akan kekurangan diri, Luqman Podolski muncul dengan karya baharu berjudul, Tak Sedar Diri.
Kolaborasi bersama penyanyi berbakat, SYA, membawa kelainan bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga mesej sinikal yang penuh makna menerusi lagu tersebut.
“Saya mahu menyentuh tentang sikap yang ramai tak perasan iaitu terlalu yakin dan lupa akan kemampuan diri. Akibatnya, banyak masalah timbul,” kata Luqman Podolski, atau nama sebenarnya Luqmanul Haqim Kamaruddin, 26.
Lagu tersebut dilancarkan pada 6 September lalu di semua platform digital dan sudah mula mencuri perhatian ramai.
Mengakui tema lagu itu lebih berani dan berbeza, Luqman menggambarkan mereka yang tidak sedar diri sebagai individu narsistik dan sombong.
Baca juga: Sentuhan jiwa Zubir Khan menerusi Unik
“Sifat ini sering kali membawa masalah kepada orang lain kerana mereka melangkaui batasan sendiri tanpa sedar,” jelasnya.
Luqman turut berkongsi pengalaman unik semasa rakaman yang melibatkan kerjasama dengan nama-nama besar dalam industri.
“Proses ini janggal tetapi menyeronokkan. Saya bertemu dengan ramai individu berbakat dan banyak belajar sepanjang pembikinan lagu ini,” katanya.
Dia turut memuji SYA sebagai penyanyi dengan pesona vokal yang berbeza dan ‘underrated’.
Baca juga: Dalia Farhana Gegar Dunia Muzik dengan ‘Beban’
Menariknya, video muzik (MV) Tak Sedar Diri mendapat sentuhan istimewa dengan inspirasi daripada Gotham City, bandar fiksyen dari filem terkenal, Batman.
MV tersebut mengisahkan konflik dalam hubungan pasangan yang dingin dan berjaya mengumpul lebih 100,000 tontonan dalam masa kurang sebulan.
MV tersebut boleh ditonton di saluran YouTube Black Cat Hat Records.
“Lagu ini adalah transisi ke arah sesuatu yang lebih besar.
“Saya janji akan hasilkan lebih banyak eksperimen bunyi dan muzik yang memuaskan,” ujar Luqman.
Tak Sedar Diri dicipta sepenuhnya oleh Kim Manul, SYA serta Bo Amir Iqram, dan boleh dinikmati di semua pelantar digital. — Arena Muzik