PENYANYI legenda tanah air, Datuk M.Nasir sekali lagi berjaya memukau 6,000 penonton yang hadir ke Konsert Cipta 2 M.N45IR yang telah berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Konsert anjuran Icon Entertainment buat kali kedua ini memberikan aura baharu kepada semua penonton yang hadir dan memberi peluang buat peminat yang tidak dapat hadir sewaktu konsert versi pertama yang berlangsung pada 10 Ogos lalu di tempat sama.
Walaubagaimanapun, M.Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed, 67, membuat persembahan dengan pemilihan lagu yang berbeza dengan lagu-lagu yang dipersembahkan pada konsert sebelum ini.
Dengan konsep dan kod baju yang diberikan terlebih awal di media sosial Icon Entertainment, secara tidak langsung Axiata Arena dibanjiri dengan peminat yang mengenakan pakaian putih dan berseluar denim (jeans).
Debaran semakin terasa apabila pintu masuk dibuka seawal pukul 7.30 malam dan para peminat berpusu-pusu memenuhi tempat duduk masing-masing serta menunggu dengan penuh rasa teruja akan kemunculan sang legenda itu.
Seterusnya, M.Nasir membuka tirai persembahan dengan mendendangkan lagu-lagu hits seperti Pawana, Hukum Karma, Andainya Aku Pergi Dulu, Cinta Dewa Dewi dan banyak lagi.
Baca juga: Search Symphonic: Unik, imbau nostalgia peminat rock
Dalam masa yang sama, semua penonton yang hadir turut menyanyi bersama-sama dan memberi sorakan gemuruh setiap kali permulaan dan perakhiran lagu yang didendangkan.
Ini menunjukkan bahawa karya-karya M.Nasir memberi kesan yang baik kepada pendengar muzik tanpa mengikut zaman.
Setelah selesai membuat persembahan dengan beberapa lagu, M. Nasir sempat mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat yang hadir ke konsertnya, bahkan kepada peminat yang hadir buat kali kedua.
Dia juga sempat berseloroh bersama peminat berkenaan kod baju yang dilihat menepati apa yang dirancang.
Baca juga: KRU kembali beraksi demi peminat
“Siapa datang buat kali pertama? Kali kedua? Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang datang, ada sampai kali kedua datang.
“Bukan main semua berpakaian putih dan jeans ya? Terima kasih lagi sekali saya ucapkan, mari kita menyanyi dan joget (menari) bersama-sama untuk lagu-lagu yang seterusnya,” katanya.
Konsert diteruskan dengan kehadiran gitaris terkenal kumpulan Search iaitu Kid, sekali gus membuatkan ramai peminat bersorak lalu mendendangkan lagu Fantasia Bulan Madu.
Sentuhan lagu malar segar sehingga ke hari ini bergema dengan alunan gitar elektrik yang dimainkan oleh Kid membuatkan ramai terpegun dengan melodi lagu tersebut.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu cukup untuk memenuhi jiwa semua penonton yang hadir dengan lagu-lagu yang pernah menjadi halwa telinga peminat muzik seperti Tiara, Duit, Gerhana, Mentera Semerah Padi dan Hati Emas.
Terdahulu, Icon Entertainment selaku penganjur utama telah merealisasikan konsert yang ditunggu-tunggu oleh peminat M.Nasir iaitu Konsert Cipta: M.Nasir 45 Tahun pada 10 Ogos lalu.
Oleh kerana permintaan yang terlalu ramai, maka konsert tersebut diadakan buat kali kedua pada 12 Oktober 2024 di tempat yang sama. — Arena Muzik