Oleh: Haikal Tajuddin
BERKAT kejayaan merevolusikan nyanyian ‘Hip Hop’ sepanjang 30 tahun yang lalu, kini kumpulan KRU yang di anggotai tiga beradik itu mengakui akan kembali beraksi untuk menghidupkan semula legasinya.
Pengakuan ini dibuat setelah mereka yang dianggotai oleh Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim, melakukan kolaborasi bersama pihak Sony Music Malaysia sebagai inisiatif untuk memberi kejutan kepada peminat yang baharu.
“Kini setelah lebih 30 tahun berada dalam industri muzik tempatan, mereka kembali membuat kejutan saat mengumumkan kerjasama dengan syarikat gergasi muzik dan rakaman dunia, Sony Music Entertainment Malaysia.
“Kolaborasi ini adalah inisiatif syarikat kami yang percaya dengan kehebatan, komitmen serta kualiti kerja kumpulan KRU sepanjang mereka berada di dalam industri seni sejak beberapa puluh tahun yang lalu,” kata jurucakap Sony Music Entertainment Malaysia.
Baca juga: OMG Oktoberfest 2024: Festival Hiburan Tanpa Henti di Monkeys Canopy Resort
Kedua-dua pihak itu yakin bahawa dengan kerjasama yang dibuat itu akan membuahkan pelbagai hasil terhadap produk hiburan yang hebat dan luar biasa.
“Dengan komitmen terhadap inovasi dan kualiti, KRU juga berjanji untuk terus berusaha demi mencipta karya yang relevan dan menghiburkan.
“Nantikan aneka perkembangan terbaru yang bakal diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.
Baca juga: ‘BBF’ buah tangan baharu kumpulan MUAH!
Untuk info, KRU ditubuhkan pada 1992 dan merupakan salah satu nama terkemuka dalam industri muzik tempatan.
KRU ini telah mencipta pelbagai lagu hit yang menjadi ikonik di kalangan peminat dengan kombinasi muzik pop, hip-hop, dan R&B.
Kumpulan ini telah mencatatkan kejayaan dalam muzik sehingga berjaya mengeluarkan album-album yang laris di pasaran seperti ‘Generasi’ dan ‘KRU’ serta lagu-lagu popular seperti ‘Awas 1994’, ‘Ohh! La! La! 1996 dan banyak lagi.
Dipercayai, kumpulan tiga beradik ini pernah mengambil tindakan untuk membubarkan kumpulannya selepas melakukan konsert terakhir yang berlangsung pada 6 Mei 2018. — Arena Muzik