Oleh: Haikal Tajuddin
AKIBAT dikritik ‘jual mahal’ kerana meletakkan harga tinggi, Penyanyi Wings, Awie telah dianggap sebagai tidak profesional oleh bekas pemain gitar utama Wings, JoBranko.
Abdul Zamin Abdul atau lebih dikenali sebagai JoBranko mendakwa penganjur Rock Warrior Music Festival (RWWF) itu perlu lebih bersifat terbuka dan adil dalam menghormati nilai dan syarat yang telah ditetapkan oleh artis.
“Bagi saya, setiap keputusan haruslah berdasarkan persetujuan bersama yang adil kepada semua pihak terlibat.
“Jika satu pihak yang ditawarkan itu merasakan harga yang diminta tidak setimpal, maka pihak satu lagi boleh mencari alternatif lain yang bersesuaian dengan bajet mereka.
Baca juga: Ella, Macklemore bakal gegar festival MotoGP
“Jadi, dia perlu bersifat profesional, adil dan terbuka, termasuk menghormati syarat yang telah saya tetapkan itu,” jelasnya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook.
Dalam pada itu, JoBranko turut mendakwa tindakan yang dibuat Awie dengan niat merapatkan hubungan silaturahim itu dianggap tidak ikhlas.
“Jika benar niat untuk bersilaturahim, cara terbaik adalah dengan pendekatan peribadi bukan melalui tawaran komersial seperti konsert.
“Kami juga pernah bersama-sama dalam industri muzik bertahun-tahun dalam Wings yang banyak memiliki ruang untuk bertemu dan berbincang secara baik tanpa perlu melibatkan acara umum mahupun media.
Baca juga: JoBranko Duta Rasmi Music Bliss
“Jika ikhlas, dia boleh sahaja menghubungi saya menerusi hantaran mesej atau Whatsapp, namun kenapa perlu mengeluarkan kenyataan melalui media dengan mempersoalkan harga yang telah saya letakkan itu,” ujarnya.
Terdahulu, krisis dalaman yang berlaku antara Awie dan JoBranko menyaksikan pemain gitar itu tidak lagi bersama Wings sejak Ogos 2016.
Krisis itu tercetus berikutan dakwaan mengatakan JoBranko adalah punca Wings terpaksa membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember 2016.
Difahamkan, permasalahan terbabit dikatakan turut berpunca daripada orang ketiga hingga ia merebak menjadi lebih serius.
JoBranko kemudian menubuhkan kumpulan Prime Domestic, namun tidak bertahan lama dan kini menubuhkan Barbarik yang dianggotai Muss (penyanyi), Rozaimie (bass) dan Ainol (drum). — Arena Muzik