ARTIS veteran dan Juara Bintang RTM 1978, M. Rizal atau nama sebenarnya Razali Hashim, 71, meninggal dunia akibat ulser perut pada pukul 10.55 malam tadi.
Anak bongsunya, Roy Faisal, 41, memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia di kediamannya di Taman Damai Jaya, Skudai, di samping isteri, Salmah Musa, 74, dan anak-anak.
Menurutnya, tiga hari sebelum meninggal, Allahyarham tidak makan kerana masalah ulser perut yang dihidapinya.
“Ayah ada menghidap gout, namun itu adalah penyakit lama. Ayah disahkan menghidap ulser perut tetapi sudah pulih tahun lalu, dan sakitnya hanya datang sesekali. Bila sakit, ayah memang tidak ada selera makan.
“Tiga hari sebelum meninggal, ayah memang tidak makan langsung. Saya hanya dapat menyuapkan ‘nestum’ kerana ayah kelihatan lemah setelah tiga hari tidak menjamah apa-apa. Saya suap pada pukul 4 petang dan pada malam itu, pukul 10.55 malam, ayah ‘pergi’.
“Sedih, tetapi kami reda. Kami lima beradik berada bersama ayah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.
“Saya tinggal bersama ayah dan ibu. Malam semalam, saya membuat panggilan video dengan abang dan kakak. Kami nampak ayah sedar, tetapi tidak lama kemudian dia diam,” katanya memetik laporan media.
Jenazah M. Rizal yang terkenal dengan lagu “Abang Beca” ketika zaman kegemilangannya, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Impian Emas, Skudai, pada pukul 10 pagi tadi.
Menurutnya isteri Allahyarham, arwah telah meninggalkan dunia nyanyian lebih dari 20 tahun yang lalu.
Untuk info, M. Rizal pernah menjadi Juara Bintang RTM sebelum Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, memenangi gelaran tersebut pada tahun 1979.
Allahyarham popular dengan karyanya seperti “Hatiku Menangis Kernamu” dan “Usah Kau Rayu Padanya,” yang juga merupakan lagu runut bunyi (OST) untuk filem “Sumber Ilhamku.”