RUANG konsert Zepp KL sekali lagi mencipta sejarahnya yang tersendiri dengan sebuah lagi konsert yang mencatatkan seribu satu kenangan buat peminat muzik. Memori indah itu tentunya akan terus terpahat buat peminat penyanyi dari seberang, Feby Putri.
Ini bukan kali pertama, pemilik nama asal Feby Puteri Nilam Cahyani, 24 berkunjung dan menghiburkan peminatnya di sini. Lebih setahun lalu, di lokasi sama, Feby turut menawan hati peminat-peminatnya dengan Konsert Feby Putri live in Kuala Lumpur.
Sabtu lalu, lebih kurang 2,500 peminat Feby hadir ke Zepp KL untuk Konsert Feby Putri Vol 2, ‘Detik Menit Jam’ dengan 16 buah lagu dalam masa 2 jam.
Pentas persembahan konsert tersebut dimulakan dengan penyanyi undangan, Megat Fazly dari kumpulan Mafidz, yang menyampaikan beberapa buah lagu miliknya termasuk Berseri, Minta Maaf Lagi dan Tatkala Rindu.
Baca juga: Celine Dion kembali, serikan pembukaan Olimpik Paris 2024
Peminat Feby mulai bersorak riang bila tiba masa untuk penyanyi kesayangan mereka muncul untuk memulakan persembahannya dengan lagu Tanpa Pamrih dan Alih.
Persembahan diteruskan dengan beberapa buah lagu popular lian termasuk Diri, Usik dan Halu.
Feby turut mengambil peluang untuk mendendangkan lagu yang baharu dilancarkannya pada Jumaat yang bertajuk Tangan-Tangan Ucap Perpisahan.
Ketika ditemui pada sidang media, Feby memaklumkan bahawa lagu berkenaan sangat dekat dengan hidupnya kerana dia merupakan seorang perantau dari Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia yang berhijrah ke Jakarta untuk mengejar cita-citanya sebagai seorang penyanyi.
Baca juga: Konsert Yaph dan Teman-Teman ‘hadiah’ buat peminat pada Oktober depan
“Lagu Tangan-Tangan Ucap Perpisahan sangat dekat dengan saya sebagai anak perantau yang menyaksikan lambaian tangan dari ibu bapa saya yang memberi keizinan kepada saya untuk mengejar cita-cita di Jakarta.
“Namun, isyarat lambaian tangan tersebut bukan hanya membawa makna melambai sahaja malah ia turut menunjukkan tanda perpisahan buat seseorang serta membawa harapan orang yang ditinggalkan,” katanya ketika ditemui Arena Muzik.
Lagu berkenaan tersebut ditulis sepenuhnya oleh Feby, yang ditulis berdasarkan pengalamannya.
Selepas lagu tersebut dinyanyikan, Feby menutup pentas konsert tersebut dengan empat buah lagu hit miliknya termasuk Liar Angin, Detik Menit Jam, Rantau dan diakhiri dengan lagunya yang mengungguli carta pertama dalam semua platform penstriman, Runtuh.
Sebelum melabuhkan tirai, Feby turut menyatakan harapan agar penonton yang hadir ‘balik modal’ setimpal dengan harga tiket yang dibeli mereka dan mendapat kebahagiaan selepas menghadiri konsertnya. — Arena Muzik