KONSERT Solo Datuk Awie yang diberi nama “Journey” akan menawarkan pengalaman unik dengan gabungan monolog dan persembahan teatrikal, menjadi tanda dagang Datuk Awie.
Buat julung kalinya, konsert yang penuh dengan seri unik itu bakal berlangsung di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2024 nanti bagi meraikan perjalanan 30 tahun Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, di dalam dunia seni sejak 1985 sebagai artis solo.
Penonton bakal disajikan dengan lagu-lagu popular yang mengimbau kenangan dari album-album kompilasi beliau yang memegang rekod Album Solo Artis Lelaki Paling Laris di Malaysia.
Difahamkan, konsert tersebut juga merupakan noktah akhir dalam karier nyanyian lagenda rock tanah air itu.
Istimewanya konsert kali ini akan menampilkan barisan pemuzik handalan seperti Rozario Rasul yang akan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik yang juga bertindak sebagai pemain keyboard.
Baca juga: Showcase Jiwa Kacau 2024 raih lebih 15,000 penonton di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil
Manakala pemain gitar pula ialah Ritz MetalAsia (Gitar 1), Addy Cradle (Gitar 2), Fly Halizor (Bass), Ujang Exist (Dram), dan Pa’ang Zaman (Perkusi).
Pelantun lagu terkenal Dipenjara Janji itu akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu-lagu popular beliau terutama dari album solo dan album Wings, termasuk dari album Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000), dan Santai (2005).
“Saya terharu dan tidak menyangka sambutan terhadap konsert solo saya sehebat ini. Saya terperanjat apabila dimaklumkan 3 kategori utama tiket habis dijual dalam beberapa jam.
“Oleh kerana permintaan yang tinggi daripada peminat, saya telah berbincang dengan pihak penganjur dan mereka bersetuju untuk membuka kategori tiket yang baru agar semua peminat yang tidak sempat membuat pembelian tempohari, boleh berbuat demikian sekarang.
“Konsert ini bakal meninggalkan satu kenangan yang paling manis buat semua peminat. Tema dan konsep unik yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini merupakan bingkisan yang begitu peribadi dari saya untuk semua. Hanya yang terbaik untuk semua peminat yang hadir pada 3 Ogos nanti,” kata Awie ketika ditemui di Sidang Media Konsert Awie Journey pada 20 Jun 2024.
Baca juga: Konsert solo pertama Joe Flizzow di Kota Singa pada 5 Julai depan
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TruePixel Sdn. Bhd, Samsul Kamal, ramai yang menantikan konsert solo Datuk Awie sehinggakan tiket bagi beberapa kategori telah habis dijual dalam beberapa jam sahaja selepas dilancarkan.
“Dalam masa sama, laman web kami juga mencipta rekod menerima jumlah kunjungan yang paling tinggi pada jam pertama tersebut. Kami telah mula menjual tiket seminggu lebih awal bagi mereka yang membuat pra-pendaftaran dan pada masa yang sama menikmati diskaun bagi setiap pembelian,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk pembelian tiket, beberapa kategori telah diperkenalkan iaitu SILVER – RM218, GOLD: RM288, PLATINUM – RM418, DIAMOND – RM700, VIP – RM1000, VIP+ RM1500 (beserta meet and greet), ROYAL BOX – RM1500 (beserta meet and greet).
Walaubagaimanapun, tiket bagi kategori SILVER, GOLD, dan PLATINUM telah habis dijual. Bagi memenuhi permintaan ramai, pihak penganjur turut memperkenalkan kategori tiket terbaru iaitu RUBY yang berharga RM518 yang kini boleh dibeli melalui laman web rasmi iaitu www.pixeltix.com.my. — Arena Muzik