SEORANG artis muda yang berbakat besar, Nuha Bahrin, telah mencipta nama dalam industri muzik sejak kemunculannya.
Antara lagu beliau yang telah menjadi fenomena adalah ‘Casablanca’, serta sebuah lagu cover iaitu ‘Jika’, yang menggabungkan elemen bahasa Arab.
Memiliki suara yang merdu dan gaya muzik yang unik, Nuha atau nama sebenarnya Nuha Sakina Saiful Bahrin, dijangka akan membawa perspektif baharu ke dalam industri muzik Malaysia.
Baca juga: Memori Mungkin Berulang gandingkan Siti Nordiana, Tomok
Malah, syarikat EMI Music Malaysia telah mengadakan sidang media khas bertujuan untuk memperkenalkan Nuha sebagai artis baru mereka kepada pihak media dan para peminat.
Menurut Adib Hamdi sebagai ketua EMI Music Malaysia, beliau menyatakan “Nuha merupakan nafas baru bagi EMI, Nuha juga dapat memberi impak yang sangat baik kepada EMI dan juga kepada Industri Muzik Malaysia.
“EMI akan terus memberi sokongan yang baik dalam perjalanan karier Nuha. Saya juga berharap peminat-peminatnya akan terus menyokong kerjaya muziknya dan lagu-lagu beliau pada masa akan datang,” katanya ketika berucap di Sidang Media EMI Music Malaysia pada 13 Jun 2024.
Pelantun kecik molek yang berusia 24 tahun itu turut berterima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokongnya dan dia juga bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada keluarga dalam mencapai ke tahap yang lebih tinggi dalam industri nyanyian tanah air.
Baca juga: Vanessa Reynauld curahkan rasa rindu menerusi Erti Rindu
“Dengan sokongan keluarga, serta EMI Music Malaysia dan peminat-peminat, Nuha bersedia untuk mengambil langkah besar dalam karier Nuha, dan terus membawa inovasi dan kecemerlangan ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.
“Saya berterima kasih kepada keluarga saya, kepada individu penting EMI yang memberi saya peluang, pihak pengurusan dan tidak lupa juga kepada peminat-peminat saya di luar sana yang sentiasa memberi sokongan, dan Nuha juga teruja untuk mengumumkan bahawa Nuha akan mengeluarkan lagu baharu yang sedang dalam penghasilan tidak lama lagi,” ujarnya.
Dalam masa sama, sidang media tersebut dihadiri oleh orang-orang penting bagi EMI Music Malaysia iaitu Kim Lim sebagai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia.
Terdahulu, pada 3 Jun 2024, EMI Music Malaysia dan Nuha Bahrin telah membuat pengumuman mengejutkan bahawa Nuha secara rasmi menyertai EMI Music Malaysia sebagai artis baharu mereka. — Arena Muzik