SETELAH muncul dengan beberapa single termasuk ‘Balik Raya’ bersama Wani Kayrie dan Indah Ruhaila di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, kini Nadeera hadir menerusi lagu terbaharunya berjudul ‘Udara’.
Hasil karya ciptaan komposer yang semakin melonjak naik, Iqie Hugh, Shazeriq Azeman dan Omar K juga diterbitkan oleh label terkemuka tanah air, Rocketfuel Entertainment.
Nadeera atau nama sebenar, Farah Nadeera Zaini, 31, menzahirkan rasa syukur dan keterujaannya apabila dipilih sebagai penyanyi bagi runut bunyi drama bersiri berjudul Framed.
Baca juga: Konsert Trio Terhebat Vol. 1 ditunda
“Saya sangat teruja apabila dipilih oleh pihak Rocketfuel Entertainment sebagai pembawa suara runut bunyi bagi drama bersiri berjudul ‘FRAMED’ yang akan ditayangkan tidak lama lagi bermula 3 Mei 2024. Tambahan pula, lagu ini mempunyai auranya yang tersendiri.
“Jalan cerita bagi single Udara ini pula mengisahkan tentang seseorang yang mencari jawapan ke atas kehilangan insan yang disayangi dan secara tidak langsung terlibat dalam sebuah konspirasi yang merujuk kepada jalan cerita di sebalik drama bersiri Framed.
Baca juga: Bukan Hazama tapi Amir Masdi ganti Denden
“Saya berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu Udara ini dengan sebaiknya, dan semoga lagu dan bait liriknya mendapat tempat di hati para peminat di Malaysia khususnya,” ujarnya sambil tersenyum lebar.
Lagu Udara boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Sekadar info, perjalanan seni Nadeera bermula ketika menjadi juara program realiti popular dan dari situ, Nadeera membina kerjaya seninya dalam industri nyanyian sehingga dikenali ramai. — Arena Muzik