PENYANYI Amir Masdi dipilih sebagai penyanyi utama Search untuk Konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 29 Jun ini.
Selain itu, Search juga memaklumkan tempat pemain bass diisi oleh Rozaimi dari kumpulan Barbarik sebagai sessionist bagi menggantikan Yan.
Pemain gitar kumpulan legenda tanah air itu, Noordin Mohd Taib berkata, memilih Amir sebagai vokalis adalah kerana dia mempunyai pakej sebagai seorang penyanyi lagu rock.
“Dia antara penyanyi generasi baru yang bagus. Dia sendiri seorang ‘rockers’ dari segi imej, gaya dan minatnya.
“Saya yakin dengan kemampuannya membawa lagu rock secara tidak langsung begitu agresif apabila berada di atas pentas. Itu apa yang kami mahukan serta sokonglah bakat-bakat tempatan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Baca juga: Westlife bakal gegar Genting Highland pada Jun depan
Sementara itu, ketiadaan Denden yang merupakan penyanyi dari Indonesia dan Yan iaitu pemain bass kumpulan tersebut adalah kerana mereka terikat dengan urusan yang lain.
Dalam pada itu, Noordin atau lebih gemar dipanggil Din menafikan sebarang konflik yang berlaku dalam kumpulan Search adalah berpunca daripada ketiadaan Denden dan Yan.
“Sejak awal lagi, saya tidak pernah mengatakan Denden dan Yan adalah anggota tetap Search. Search adalah saya dengan Kid (pemain gitar utama) saja. Denden dan Yan adalah pemuzik undangan dan mereka bebas untuk bermain dengan sesiapa saja.
“Begitu juga dengan pemain dram, Minn yang turut memiliki band sendiri dan pemain keyboard, Firdaus yang banyak menjadi pemuzik undangan untuk penyanyi-penyanyi popular tanah air.
Baca juga: Kat Roshan tampil kelembutan menerusi Cinta Putih
“Ini perkara biasa dan secara kebetulan mereka mempunyai urusan lain dan tidak dapat bersama kami, mereka juga berhak untuk bermain dengan sesiapa pun,” katanya lagi.
Sementara itu, Amir yang menerima pelawaan istimewa tersebut tidak pernah membayangkan bahawa dirinya menjadi seorang penyanyi untuk kumpulan Search.
Namun, semuanya menjadi kenyataan apabila anggota Search Din dan Kid mempelawanya untuk menjadi penyanyi di Konsert Search Gemuruh yang bakal mengegarkan Zepp Kuala Lumpur pada Jun depan.
“Saya sangat terkejut. Tak sangka dan tak pernah bayangkan akan ada dalam satu poster dan berkongsi pentas dengan band legenda. Saya fikir hanya artis jemputan, tapi jadi penyanyi rupanya.
“Projek ini adalah projek istimewa buat karier saya kerana Search adalah band legenda,” katanya sambil tersenyum lebar.
Natijahnya, percaturan Din memilih Amir Masdi mungkin untuk menarik peminat baru ke Konsert Search Gemuruh kerana penyanyi tersebut antara yang diminati oleh generasi muda. — Arena Muzik