KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membentuk satu jawatankuasa bersama bagi menangani isu royalti dalam kalangan penggiat seni muzik tempatan.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, memaklumkan bahawa jawatankuasa ini akan melibatkan Kementerian Komunikasi, sebagai tindak balas terhadap isu-isu yang berkaitan dengan anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Armizan berkata, ia juga melibatkan isu lanjutan royalti kepada seniman agung itu yang telah dibincangkan dalam Kabinet sejak Mac tahun lalu.
Sehubungan itu, Armizan menegaskan bahawa kerajaan sedar bahawa royalti merupakan komponen penting dalam pembangunan industri kreatif negara.
Baca juga: Funeral for a friend/Love Lies Bleeding versi Metallica
“Kami mempunyai laporan task force dan penambahbaikan. Kita akan gabungkan dengan dapatan di peringkat komunikasi untuk kita nilai hala tuju yang terbaik.
“Dalam masa sama, kita juga akan bergerak ke hadapan untuk melakukan pembaharuan agar dapat melindungi hak dan kepentingan penggerak industri kreatif,” katanya dalam satu Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Walaubagaimanapun, Armizan mengakui bahawa akan terdapat pelbagai cabaran apabila tempoh royalti diperpanjang kepada penggiat seni muzik.
“Ini disebabkan ia melibatkan pelbagai pihak terutama stakeholders di dalam industri kreatif itu sendiri. Kita ada pelbagai perwakilan sama ada komposer, penulis lirik, syarikat rakaman, penghibur dan komponen pengguna pun ada pandangan mereka sendiri,” katanya lagi.
Baca juga: CNBLUENTITY berjaya ‘tambat’ hati 5000 peminat di Megastar Arena
Selain itu, Armizan berharap semua pihak akan bekerjasama untuk mencari titik persamaan dalam hal ini, kerana ia melibatkan kehidupan manusia. KPDN telah membentuk satu task force yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Roziah Abudin, untuk melihat pembaharuan yang perlu dilakukan terhadap polisi dan undang-undang berkaitan royalti.
Justeru itu, beliau turut memuji usaha Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Public Performance Malaysia (PPM) dalam menganjurkan program sumbangan amal untuk artis. Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) telah berjaya menyalurkan sumbangan kepada 21 penerima terdiri daripada pencipta lagu, penghibur, kakitangan syarikat rakaman, dan wartawan yang berdepan kesulitan hidup. — Arena Muzik