BERBALOI. Itu lah sepatah perkataan yang diucapkan oleh peminat kumpulan terkenal dari Korea Selatan, CNBLUE.
Ianya terungkap selepas penantian selama 10 tahun berakhir menerusi konsert “CNBLUENTITY Live In Kuala Lumpur” pada malam Sabtu di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Keterujaan tidak dapat dibendung lagi apabila anggota kumpulan CNBLUE muncul seorang demi seorang di atas pentas menyemarakkan sorakan lebih 5000 peminat yang membanjiri Megastar Arena pada malam tersebut.
Menariknya lagi, peminat setia yang menggelarkan diri mereka sebagai Boice telah memakai pakaian berwarna biru menjadikan suasana seperti lautan bersesuaian dengan tema kumpulan kesayangan mereka itu.
CNBLUE membuka tirai persembahan dengan lagu popular mereka yang berjudul I’m A Loner membuatkan kesemua peminat teruja kerana karya tersebut merupakan lagu yang melonjakkan nama mereka dalam industri muzik.
Persembahan yang cukup bertenaga daripada CNBLUE dikagumi oleh peminat yang hadir dan tampil dengan 24 buah lagu serta begitu lincah menyanyi sambil bermain alat muzik.
Aksi yang memukau oleh Yonghwa berjaya ‘menambat’ hati peminat dengan kelunakan suara yang begitu konsisten sepanjang konsert berlangsung dan tidak berhenti memetik gitar dengan cara yang unik sambil menari.
Bukan itu sahaja, aksi pemain drum, Minhyuk dan pemain bas iaitu Jungshin berjaya memukau peminat, malah, dua anggota tersebut turut menyanyi bersama Yonghwa.
Selain itu, CNBLUE amat menghargai kehadiran penonton yang hadir kerana sekian lama tidak bertemu dan turut mengubati rindu dalam kalangan Boice.
Percubaan anggota kumpulan tersebut untuk bertutur dalam bahasa Melayu menerima banyak pujian kerana telatah mereka yang begitu mencuit hati ketika berada di atas pentas.
Sebelum mengakhiri persembahan mereka, CNBLUE sempat membuat persembahan dengan lagu-lagu popular mereka yang masih menjadi siulan ramai seperti Intuition, Love, Cinderella, Love Light, In My Head dan banyak lagi.
Yonghwa yang begitu teruja dan tersentuh dengan respon peminat pada malam itu berjanji akan datang semula ke Malaysia dan peminat tidak perlu menunggu 10 tahun lagi untuk melihat mereka beraksi. — Arena Muzik