SABAN tahun, penggiat seni tempatan tidak pernah jemu menghasilkan lagu raya baharu bagi memberikan sentuhan berbeza berbanding karya lama yang penuh dengan nilai nostalgia.
Meskipun dihasilkan pada zaman yang serba moden, namun semangat raya yang sinonim dengan budaya dan nilai kemelayuan, tetap tidak dapat dipisahkan.
Biarpun ada antaranya sudah mencecah usia hampir setengah abad, lagu raya sebegitu tetap menjadi pilihan pendengar masa kini selain kerap diputarkan dicorong radio dan persembahan pentas.
Namun, terdapat lagu raya yang mempunyai sejarah dan tarikan tersendiri.
Terdapat sejarah disebalik penghasilan nuansa raya mungkin ramai yang tidak mengetahuinya secara terperinci.
Ada juga lagu yang dihasilkan bukan untuk hari raya tetapi melodi dan liriknya setasi dengan meriah menyambut hari lebaran mulia tersebut.
Berikut merupakan 5 fakta menarik tentang lagu hari raya:
Lagu raya pertama di Malaysia
Lagu yang berjudul Selamat Hari Raya dinyanyikan oleh Allahyarmah Aminah Nani, seorang penyanyi bangsawan suatu ketika dahulu yang juga dikenali sebagai Miss Aminah, dikatakan adalah lagu hari raya pertama pernah direkodkan dan dirakam di Malaysia.
Lagu tersebut dikatakan telah dihasilkan sekitar 1936 yang dihasilkan oleh Tengku Alibasha dan Che Ara Bangsawan.
Lagu Selamat Hari Raya sebenarnya bertujuan untuk mogok
Pada bulan Mac dan April 1957, pekerja-pekerja studio filem Malay Film Productions milik Shaw Brothers telah melancarkan mogok untuk menuntut gaji yang berpatutan. Difahamkan, situasi mogok itu berlarutan sehingga Hari Raya yang jatuh pada 1 Mei 1957.
Lagu yang didendangkan oleh Ahmad Jais, dicipta oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Datuk Jamil Sulong pada 1957 sebagai tanda sokongan perjuangan pekerja-pekerja filem tersebut.
Lagu Balik Kampung bukan untuk Hari raya
Penyanyi yang mempunyai suara unik dan lunak memang tidak asing lagi dalam industri muzik tempatan iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Menarik mengenai penghibur berbakat besar ini, beliau mempunyai tema tersendiri saat mendendangkan sesebuah lagu.
Salah satunya adalah lagu Balik Kampung, yang dicipta pada 1984, karya tersebut sebenarnya ditujukan khas buat para siswazah yang teruja untuk pulang ke kampung.
Namun, situasi yang digambarkan dalam karya itu sesuai apabila pulang beraya ke kampung halaman dan seolah-olah menjadi satu kewajipan untuk didengari bagi menceriakan suasana pulang berhari raya.
Suasana Hari Raya dinyanyikan oleh Anuar Zain dan Ellina Razak ketika berumur 14 tahun
Siapa sangka lagu Suasana Hari Raya yang dirakamkan lebih tiga dekad lalu oleh Anuar Zain dan pasangan duetnya ketika itu, Ellina Razak yang juga kakak kepada Elliza Razak masih terus kekal relevan.
Menjangkau usai Dikatakan bahawa pada tahun 1984 pelancaran lagu tersebut, kedua-dua penyanyi baru sahaja berumur 14 tahun. Biarpun lagu itu sudah berusia lebih 30 tahun, namun, kesannya masih dirasai sehingga ke hari ini dan muziknya terus diputarkan di corong radio.
Karya Datuk S Atan masih relevan hingga kini
Hashim Said atau lebih dikenali dengan nama Datuk S Atan adalah seorang maestro muzik yang berumur 74 tahun. Hasil karya ciptaan beliau masih menjadi pilihan halwa telinga pendengar serta dimainkan dicorong radio serta mana-mana pusat membeli-belah setiap kali menjelang Syawal.
Antara lagu-lagu yang terkenal seperti Menjelang Hari Raya dendangan oleh Datuk DJ Dave; Dari Jauh Ku Pohon Maaf oleh Datuk Sudirman Arshad; Cahaya Aidilfitri dinyanyikan oleh Black Dog Bone; Salam Aidilfitri oleh Datuk Jamal Abdillah; Hari Mulia nyanyian oleh Datuk Sheila Majid; dan Indah Beraya Di Desa yang didendangkan oleh Azlina Aziz. — Arena Muzik