KEJAYAAN lagu duet mereka yang berjudul Jarak pada tahun lalu menjadikan Aisha Retno dan penyanyi kelahiran Brunei, Aziz Harun kembali bersama dengan sebuah bingkisan istimewa berjudul Ketipak Ketipung Raya sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Nuansa raya dicipta dan ditulis oleh Aziz, Aisha bersama dengan Romeo serta Glowrush selaku penerbit telah menjadikan sebuah projek spontan itu sebagai satu realiti.
Kedua-duanya mengakui lagu tersebut mempunyai mesej yang sangat mudah untuk difahami iaitu tentang persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Baca juga: The Gadys ungkap perasaan tak dapat balik kampung dalam Cuti Raya
“Ia memaparkan tema-tema umum yang sering ditampilkan dalam banyak lagu raya yang lain. Ia menggambarkan kekecohan persiapan di pagi raya sambil bertanyakan hal-hal biasa seperti sudahkah baju raya dibeli, sama ada juadah hari raya sudah siap dan sebagainya.
“Ia juga mencerminkan keseronokan suasana berhari raya tanpa mengira status dan generasi. Dari situ jugalah saya memasukkan unsur tradisional lagu ini, iaitu rentak Joget untuk menjadikannya lebih rancak dan menarik,” jelas Aisha dengan gembira.
Sementara itu bagi Aziz, proses rakaman lagu tersebut tidak mempunyai banyak halangan dan berjalan segalanya berjalan dengan sangat lancar.
Baca juga: In Your Hands taruhan Halle Bailey dominasi carta muzik R&B
“Proses rakaman sebenarnya sangat cepat. Pihak pengurusan saya menguruskan pertemuan dengan Aisha serta Glowrush penerbit kami, dan kami menyiapkannya dalam masa beberapa jam sahaja. Kami masing-masing hanya memerlukan tiga jam setiap seorang untuk proses rakaman vokal di dalam studio,” ujar Aziz sambil tersenyum.
Aisha dan Aziz saling mengakui senang bekerjasama kerana keserasian sudah wujud sejak berduet lewat lagu Jarak lagi.
Aziz yang berumur 24 tahun itu menzahirkan harapan agar peminat yang menantikan karya raya mereka tersebut dan terus menjadi malar segar yang akan sentiasa diingati. — Arena Muzik