SELAM Lagu merupakan satu rancangan baru dari Arena Muzik yang membicarakan tentang sesebuah karya muzik dari segi irama, konsep dan juga seni kata yang mempunyai maksud tersendiri bersama pemerhati muzik, Ronasina.
Menerusi episod pertama, lagu Kasa Rubia dendangan Margasatwa menjadi topik utama dan lagu tersebut telah diluncurkan pada awal Januari lalu sebagai single sebelum album kedua mereka yang berjudul Seri budaya yang penuh dikeluarkan.
Ronasina selaku pemerhati muzik mengupas tentang kumpulan Margasatwa yang mempunyai imej dan identiti agak unik dari segi muzik mempunyai unsur-unsur era 70-an dengan lenggok gaya nyanyian genre rock dan blues serta mengadunkannya dengan senikata yang cukup tinggi bahasa dan kiasannya.
Berdasarkan pemerhatian, rangkap pertama dan kedua lagu tersebut menjelaskan tentang perjalanan hidup seseorang tidak semestinya disusun oleh seseorang itu sendiri kerana secara tidak sedar takdir yang tertulis buat kita berjalan tanpa kita sedari.
Baca juga: Misha Omar muncul dengan Masihkah Ada Rasa Itu? selepas 4 tahun
Baca juga: Liza Hanim pukau peminat dengan Takdir Itu Milik Aku
“Lagu itu membawa kita kepada kecintaan kepada Yang Maha Kuasa dan juga keindahan cinta yang dilimpahkan kepada kita.
“Syurgawi bebas bentuk fikiran, nada harmoninya Ritma kekasih yang kucinta antara bait lirik yang terdapat dalam lagu Kasa Rubia yang menggambarkan cinta itu apabila sampai ke peringkat yang lebih luas dengan kekuasaan Allah SWT kepada manusia, cinta itu lebih harmoni,” jelasnya dalam rancangan Selam Lagu.
Kesimpulannya, Kasa Rubia dari Margasatwa itu bukan hanya setakat menceritakan kisah hati yang terpaut dengan wanita berkebaya nyonya tenunan kain kasa rubia namun, turut mengisahkan tentang perjalanan takdir seseorang itu sendiri dalam satu hubungan yang ingin menyatukan dua hati.
Sekadar info, Ronasina turut kongsikan maksud disebalik perkataan kasa rubia iaitu jenis kain yang digunakan untuk membuat baju kebaya nyonya di samping kain yang jarang dan cantik sangat cantik apabila diperagakan oleh kaum wanita serta terserlah kecantikkannya. — Arena Muzik