NAMA bintang baharu HarsonBee mungkin kedengaran asing dalam industri muzik tempatan. Namun, sebalik nama itu tersimpan ‘segunung’ bakat terpendam yang tidak boleh dipandang sepi.
Bukan sahaja memiliki kemahiran dalam bidang nyanyian, malah HarsonBee atau nama sebenar Harrison Bryan turut berbakat dalam bidang penciptaan lagu.
HarsonBee yang berasal dari Sandakan, Sabah juga menjadi antara bakat yang dicungkil menerusi projek Sabah Next Top Composer (SNTC).
Pertandingan itu juga menjadi platform buat HarsonBee apabila dia berjaya meraih tempat ketiga dengan mempertaruhkan karya ciptaan sepenuhnya berjudul Cerita Cinta Kita.
Tuah nyata berpihak pada HarsonBee apabila uji bakat nyanyiannya berjaya mendapat perhatian dari komposer ternama L.Y. untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya, L.Y. Music Factory.
Seiring berjalannya waktu, HarsonBee muncul dengan single berjudul Pemilik Hatiku yang juga hasil ciptaan sepenuhnya oleh dirinya dan mendapat sentuhan L.Y. sebagai penerbit.
HarsonBee berkata, dia sangat gembira lagu pertama ciptaan dirinya mendapat perhatian daripada pemuzik terkenal L.Y.
Baca juga: Bams, Marcell dan Once bakal bergabung atas satu pentas 4 Mei depan
“Ini adalah single pertama saya untuk dipertaruhkan bagi memperkenalkan lagi nama saya dalam dunia seni.
“Lagu ini menceritakan mengenai seorang lelaki yang sedang memujuk teman wanitanya dan pada masa yang sama cuba untuk membuatnya tersenyum kerana teman wanitanya berasa tidak disayangi dalam hubungan mereka.
“Tajuk Pemilik Hatiku itu membawa makna bahawa dia (kekasih) satu-satunya yang berada di dalam hati,” katanya.
Berkongsi mengenai proses penghasilan lagu itu, HarsonBee memberitahu, pencarian melodi mengambil masa sedikit lama. Ini kerana dia ingin memastikan lagu yang dihasilkan berkualiti dan sesuai dengan cita rasa pendengar.
“Mencari melodi ini mengambil masa kerana pada masa yang sama saya mendengar lagu-lagu daripada pelbagai genre. Kemudian saya memilih konsep ‘bubblegum pop’. Ia adalah satu cabang daripada genre pop, yang mana ia mempunyai elemen catchy dan upbeat.
“Selepas proses itu, saya meneruskan dengan menulis lirik lagu dan penulisan lirik untuk lagu ini mengambil masa satu hari,” katanya.
Baca juga: ‘Suara burung’ Mahalini tawan peminat Malaysia
Video muzik (MV) lagu ini fokus kepada memperkenalkan dirinya sebagai pendatang baru dan menterjemahkan liriknya dalam bentuk visual. Konsep yang dipilih adalah ‘story telling’ dan ringkas saja. MV ini dibuat secara ‘straight forward’, ada yang memaparkan HarsonBee sebagai penyanyi dan
juga sebahagiannya adalah drama yang berkisarkan lirik atau maksud lagunya.
HarsonBee berharap lagu ini diterima oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya remaja di zaman sekarang ini. Pemilik Hatiku boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 26 January 2024, muzik video juga telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia. — Arena Muzik