MENYAMBUT baik permintaan peminat di Malaysia, digelarkan dengan panggilan ‘songbird’ disebabkan kelunakan suaranya, penyanyi asal Denpasar, Bali, Indonesia, Mahalini Ayu Raharja atau lebih terkenal dengan panggilan Mahalini, kembali ke Kuala Lumpur demi menjayakan konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Malam yang ditunggu-tunggu peminat itu akhirnya telah tiba. Panggung dibuka sekitar pukul 8.00 malam dengan menyaksikan himpunan pemuzik mengenakan busana rona putih sebagai tema konsert tersebut.
Tanpa membuang waktu, Mahalini lantas membuai perasaan penonton dengan lagu Bawa Dia Kembali yang pantas sahaja membuat emosi cinta gentayangan di segenap ruang Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Menariknya, konsert yang bertemakan ‘Lovechestra’ (love + orchestra) turut diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan Dennis Nusi.
Baca juga: Green Day mendominasi senarai 5 lagu cinta paling romantik
Baca juga: Singkap kisah hidup Celine Dion dalam ‘I Am Celine Dion’
Ternyata, kesemua penonton yang hadir dibuai keasyikan dengan kemerduan suara yang dimiliki Mahalini selama hampir 2 jam persembahan itu. Sebanyak 16 lagu dipersembahkan antaranya Sial, Sisa Rasa, Melawan Restu, Bohongi Hati, Kisah Sempurna dan banyak lagi.
Lebih istimewa, malam konsert juga turut diserikan dengan bintang tamu, Rizky Febian atau lebih mesra dipanggil Iky. Tentu sahaja, penonton bersorak apabila melihat bintang kesayangan itu muncul di pentas menyanyikan bersama barisan lagu duet Mahalini, seperti Aku Yang Salah, Janji Kita, Satu Tuju dan juga You’re Mine. Malah Rizky turut mendendangkan lagu Selaras Kata dari album terbaharunya, Berona.
Menurut Ahmad Jeffny selaku Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Mahalini mempunyai pengikut yang kuat dalam industri seni muzik tanah air, selain berjaya mencatat beberapa kejayaan di negara kelahirannya.
“Ternyata percaturan Kharisma Music dalam membawakan Mahalini ke Malaysia membuahkan hasil kerana pemilihannya dibuat berdasarkan pencapaian beliau dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia dengan jumlah penstriman paling tinggi di Spotify (Indonesia), serta lagu-lagu nyanyian sering menjadi viral di media sosial.
“Buat penggemar muzik live di Malaysia, nantikan pengumuman yang seterusnya dari Kharisma Music!” katanya.
Konsert tersebut dibawakan khas oleh jenama kosmetik popular Alha Alfa, dan dianjurkan oleh penganjur acara, Kharisma Music.
Malam konsert tersebut turut menjadi malam bertuah bagi salah seorang pembeli tiket yang telah berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang merupakan sebuah kereta di samping beberapa hadiah menarik. — Arena Muzik