HYPERACT bakal mengadakan konsert sempena 15 tahun perjalanan karier di dalam industri muzik di KWC StarXpo, Kuala Lumpur pada 3 Februari depan.
Buat julung kalinya kerjasama dengan Redvena Musix akan menganjurkan konsert dengan usaha sama, Talent Toy Production yang bakal menampilkan kumpulan Hyper Act.
Band tersebut terdiri daripada Firman Bansir (vokal utama), Toy Nizam (pemain bes dan vokal kedua), Freddy (gitar utama), Etan (gitar kedua) dan Ejam (drum).
Konsert yang bersempena ulang tahun ke-15 Hyper Act semenjak pebubuhannya pada 2009. Selain itu, konsert ini juga dijadikan sebagai kesinambungan aktiviti Hyper Act selepas pelancaran lagu terbaharu mereka Pasti Terjadi pada Oktober lalu.
Dalam pada itu, konsert tersebut juga bakal menggabungkan semula bekas anggota Hyper Act iaitu Ronnie Hussein, Kecik Ogie, dan Labib.
Bagi Ronnie, yang juga antara ahli senior band tersebut, yakin kemunculan mereka akan menjadi detik bermakna dan sesuatu yang dinantikan peminat mereka setelah sekian lama menantikan kemunculan mereka semua.
Baca juga: 12 lagu bakal berentap di AJL38
Baca juga: Nike Ardilla, Melly Goeslow bersatu dalam Kembali Bertemu
“Konsert bersempena ulang tahun ke-15 Hyper Act ini adalah apa yang diidamkan oleh kami satu kumpulan untuk bersama dengan ahli asal Hyper Act,
“Kepada peminat kami yang masih setia menyokong kami, kami menjanjikan yang terbaik buat semua lebih-lebih lagi karya kami masih menjadi siulan buat semua pendengar tidak kira umur pada masa kini, kami terharu dan rasa bersyukur buat semua peminat kami,” ujar Ronnie kepada Arena Muzik.
Kumpulan Hyper Act yang terkenal dengan lagu hit antaranya Harapan, Hanya Aku, Impian, Takkan Pergi, Bukan Untukku, Kasih dan yang terkini, Pasti Terjadi akan menghiburkan peminat yang bakal menghadiri konsert mereka nanti.
Tiket boleh didapati di ticket2u sejak 24 Oktober lalu pada harga RM115 (Zon 5, berdiri), RM175 (Zon 4, berdiri), RM195 (Zon 3, berdiri), RM225 (Zon 2, berdiri), RM245 (Zon 1, berdiri), RM295 (“Pasti Terjadi, berdiri) dan RM250 (meet & greet). — Arena Muzik