PENYANYI popular yang tergolong dalam kumpulan papan atas, Ziana Zain tidak menafikan pengalaman lampau membuatkan dirinya mengambil sikap selektif dalam membuat keputusan untuk memilih penganjur konsert.
Perkara itu disebabkan pemilik nama Siti Roziana Zain, 55, pernah berdepan dengan pengalaman ‘menakutkan’ apabila perancangan untuk menjayakan konsert suatu masa dahulu tidak kesampaian sekitar 2014.
Disebabkan itu enggan luka lama berdarah kembali, Ziana membulatkan hati untuk memilih Anuar Zain Network dan Ziana Zain Network untuk melaksanakan tanggungjawab merealisasikan impiannya sementelah beliau sendiri sudah lebih tiga dekad dalam industri.
Angka itu tentu sahaja membuatkan Ziana cukup matang dengan sepak terajang dunia hiburan sekali gus membuatkan dirinya lebih bersikap berjaga-jaga.
“Secara peribadi, saya agak takut. Bukan kata tiada orang yang datang buat tawaran untuk mengadakan konsert, tetapi saya menjadi lebih spektikal. Setiap orang yang datang itu, saya akan tengok dulu background (latar belakang) dia, lebih teliti.
Baca juga: Siti Nurhaliza menang 2 anugerah di The Knights Award 2023
Baca juga: Syukur kesihatan makin stabil, Zamani teruja kongsi pentas dengan UK’s
“Saya juga ikut kata hati, sekiranya hati kata tidak, maka saya tidak akan buat. Bagaimanapun, peluang ini agak berbeza, kerana saya mengenali dan pengetahui cara kerja mereka.
“Mereka ini semuanya golongan profesional dalam bidang pengurusan, jadi saya rasa, mengapa tidak, jangan lepaskan peluang,” katanya ketika ditemui Arena Muzik ketika majlis sidang media Konsert Ziana Zain 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Bakal diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 25 Mei depan dengan anggaran kapasiti 5,000 pengunjung, Ziana bagaimanapun tidak menolak untuk mengadakan konsert pada skala yang lebih besar.
Namun, disebabkan beberapa lokasi pilihan sudah ditempah lebih awal, maka pelantun lagu Madah Berhelah itu menerima dengan hati terbuka peluang yang ada di depan mata.
“Bukan saya tidak mahu untuk membuat konsert di tempat yang lebih besar, tetapi kerana senarai lokasi berkenaan sudah ditempah.
“Jadi daripada terus menunggu dan menunggu, saya fikir lebih baik saya teruskan saja perancangan ini.
“Peluang sudah ada di depan mata, mengapa hendak tolak. Insya-Allah, diharapkan konsert ini akan mendapat sokongan positif daripada peminat,” katanya optimis.
Dianggarkan konsert yang bakal berlansung sekitar dua jam setengah itu akan mendapat sentuhan pengarah muzik, Aubrey Suwito.
Tiket dijual dengan harga bermula RM288 (Gold),RM488 (PLATINUM), RM688 (DIAMOND),RM888 (VIP2) dan RM1,088 (VIP 1) di laman web www.ticket2u.com.my/Zianazain.