MODENISASI teknologi masa kini bukan sahaja dapat memberikan kemudahan kepada manusia dalam menjalani kehidupan seharian, tetapi turut berpotensi untuk mewujudkan semula insan yang sudah lama meninggal dunia, untuk kembali hidup di depan mata.
Begitulah yang dilakukan oleh pemuzik genius asal Indonesia, Melly Goeslow yang tampil dengan lagu baharu bertajuk Kembali Bertemu.
Single baharu itu dinyanyikan bersama Allahyarham Nike Ardilla yang kenyataaanya sudah meninggal dunia dalam satu tragedi kemalangan jalan raya pada 19 Mac 1995.
Hampir dua dasawarsa insiden sedih itu berlalu, namun Melly dengan menemui caranya tersendiri untuk kembali menghidupkan sahabat baiknya itu seolah-oleh masih menghela nafasnya.
Dilancarkan pada 6 Disember lalu, lagu hasil sentuhan Melly itu secara ringkasnya boleh dikatakan sebagai olahan semula dengan nafas baharu bagi lagu lama nyanyian Nike, Duka Pasti Berlalu yang dihasilkan oleh komposer, Dadang S Manaf.
Baca juga: Transformasi Indah Ruhaila menerusi Indah
Baca juga: Afgan akui belum bersedia buat konsert di stadium
Menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), lagu Kembali Bertemu merupakan hasil asimilasi single popular Nike dengan karya baharu tulisan Melly.
Kata Melly, lagu itu bukan sahaja mengubati kerinduan peminat, tetapi turut memperkenalkan Nike kepada peminat seni muzik baharu masa kini.
“Lagu Bertemu Kembali itu sebenarnya menceritakan tentang angan-angan saya bersama Nike yang ingin menikah pada waktu yang sama.
“Tetapi setelah saya akhirnya bertemu dengan jodoh saya, Nike terlebih dahulu meninggalkan kita semua, dan angan-angan kami itu tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Selain menghidupkan semula ceritera lama yang sudah tersimpan kemas dalam kotak memori, Melly turut memberitahu, dia menghasilkan lagu tersebut sempena meraikan ulang tahun kelahiran Nike yang jatuh pada 27 Disember.
“Nike itu seorang sahabat terindah buat saya. Namanya tetap abadi di hati masyarakat Indonesia,” katanya.
Formula baharu itu menjadikan karya baharu Melly sebagai satu hasil yang luar biasa sekali gus membuka minda khalayak terhadap gabungan kreativiti dan teknologi masa kini. — Arena Muzik