MELANGKAUI tiga dekad pembabitan mereka dalam dunia muzik di negara ini, dua kumpulan muzik pop rock lagenda, UK’s dan Slam buat pertama kali dalam sejarah bakal digabungkan di atas satu pentas.
Persembahan gabungan ini akan membawa peminat mereka ‘khayal’ dan menghayati alunan muzik sambil mengimbau kembali nostalgia bersama dalam Concert UK’Slam Musical di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada 3 Februari 2024.
Kumpulan UK’s yang diterajui Mohd Azmir Muhammad Yusuf atau lebih dikenali dengan nama pentas Amir sebagai vokalis bersama Rozdenil Toni (gitar), Mohama Saleh Mohd Alias (bass), Amiruddin Shariff (drum) dan turut menampilkan Mustafa Kamal Ahmad atau Mus Satira (gitar) iaitu pemain sessionis asal dalam rakaman album kumpulan UK’s
Manakala kumpulan Slam diterajui Shah (gitar) bersama Zamani sebagai vokalis, Eddie (keyboard), Nor Azli Masrani (bass) dan Othman Khalid (drum).
Konsert itu turut menampilkan pemuzik – pemuzik undangan seperti Raja Mohad Sham (gitar akustik), Mirzan (keyboard), Mohar (seruling bambu), Pa’ang (perkusi) dan Shafiq (gitar).
Baca juga: Album sulung jadi taruhan Amir Masdi ‘terbang tinggi’
Baca juga: The Killers pamer gaya retro dalam Spirit
UK’s dan Slam menyifatkan lamaran untuk mereka bergabung dalam satu persembahan merupakan satu kelainan dalam sejarah penglibatan karier mereka dalam mengadakan konsert. Peluang yang diberikan ini tidak terduga dan sukar untuk dilepaskan sebagai pemuzik dan anak seni.
Konsep persembahan ini dibahagikan kepada beberapa segmen yang mempunyai nilai sentimentalnya tersendiri. Antara elemen yang akan diketengahkan di antara persembahan daripada setiap segmen ke segmen yang lain akan disulami dengan susunan gabungan audio visual secara muzikal.
Magis yang akan ditonjolkan bagi persembahan kali ini adalah gabungan duet antara kedua-dua kumpulan ini melalui lagu dan muzik yang akan dimulai dengan susunan irama akustik. Seterusnya akan membawa kepada persembahan yang lebih bertenaga dan energetik bakal membawa para peminat UK’s dan Slam bergabung menjadi satu.
“Konsert ini bakal mengembalikan semula nostalgia dengan persembahan gabungan terbaik kami UK’s, Slam,” ujar vokalis Uk’s yang berumur 54 tahun itu kepada Arena Muzik.
Selain bernostalgia, konsert ini dijangkakan akan menjadi sebuah persembahan yang penuh malar segar dengan memori dan kenangan buat peminat mereka. Oleh itu, antara lagu yang akan dihidangkan adalah Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, KeKasihku Di Menara dan Tergamak Kau bagi kumpulan UK’s manakala bagi kumpulan Slam, Gerimis Mengundang, Kembali Merindu, Kembali Terjalin dan banyak lagi.
Tiket dijual bermula dari harga RM108 hingga RM588 di www.ilassotickets.com atau boleh hubungi 011 1329 7822 untuk sebarang pertanyaan. — Arena Muzik